Tanjung Malim: Tan Sri Datuk Seri Dr. Ismail Bakar, Pengerusi Bukan Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad dilantik sebagai Pro Canselor baharu universiti itu untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa mulai 1 September 2023 hingga 31 Ogos 2026.

Perisytiharan dan pengurniaan watikah pelantikan Pro Canselor disempurnakan oleh Canselor UPSI, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim pada sesi pertama Istiadat Konvokesyen UPSI ke-25 semalam.

Anak jati Batu Pahat, Johor itu berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya pada tahun 1983, kemudiannya memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan pada tahun 1995 di Universiti of Hull, United Kingdom dan seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam Federalisme Fiskal pada tahun 2004 di universiti yang sama.

Ismail Bakar berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama lebih 36 tahun, dengan memegang beberapa portfolio penting antaranya Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan, Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia, Kementerian Kewangan dan yang terakhir, sebagai Ketua Setiausaha Negara bermula pada Ogos 2018 sehingga Disember 2019.

Dalam pada itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff mewakili seluruh warga universiti merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah di atas pelantikan Tan Sri Ismail Bakar sebagai Pro Canselor UPSI yang baharu dengan harapan pelantikan ini dapat menyuntik semangat serta menaikkan lagi nama UPSI di persada dunia.

“Dengan kewibaan Tan Sri Ismail Bakar menerajui perkhidmatan awam dan swasta, lantikan ini amat bertepatan dengan hasrat dan visi UPSI sebagai peneraju kebitaraan pendidikan”, katanya.

Konvokesyen UPSI ke -25 kali ini menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 7,616 orang graduan. Daripada jumlah tersebut, seramai 121 graduan Ijazah Kedoktoran, 1,487 graduan Ijazah Sarjana, 4,240 graduan Ijazah Sarjana Muda, dan 1,768 graduan Diploma Lanjutan dan Diploma.