Oleh: Esther Stephen (Pelajar Praktikal Bahagian Komunikasi Korporat)
TANJONG MALIM: Majlis Istiadat Konvokesyen ke-25 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berlangsung semalam di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City menyaksikan kembar dua beradik mencapai kecemerlangan apabila masing-masing menerima Anugerah Pelajaran Diraja dan Anugerah Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti yang dianugerahkan oleh Canselor, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Rossalini Ramzi, 23, yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dengan Kepujian meraih Anugerah Pelajaran Diraja manakala kakaknya, Rossalina Ramzi, 23, juga memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dengan Kepujian berjaya meraih Anugerah Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti .
Berasal dari Marang, Terengganu, pasangan kembar itu sedang melanjutkan pengajian peringkat sarjana memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.96 dan buat masa sekarang mereka membantu ibu dan ayah mereka di rumah.
Menurut Rossalina Ramzi, antara faktor yang menjadi pembakar semangatnya adalah ingin membahagiakan sekaligus membalas jasa pengorbanan kedua-dua orang tua mereka dengan memperoleh kejayaan dan kecemerlangan yang sentiasa memberi sokongan, dorongan serta motivasi berterusan.
“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID -19, pembelajaran secara bersemuka ditukar kepada pembelajaran dalam talian yang mengekang saya untuk menyertai pembelajaran atas sebab kekangan internet. Oleh itu, saya perlu belajar secara lebih untuk mengulang semula video yang dirakam oleh pensyarah.”
“Saya juga kena bijak mengurus masa kerana sentiasa terlibat dalam sukan. Antara sukan yang disertai adalah seperti berbentuk riadah seperti larian, fun run dan aktif dalam persatuan menjadi ahli jawatankuasa dalam sesebuah program,” tambahnya.
Rossalini berkata, di samping belajar bersungguh-sungguh, dia sentiasa menghormati ibu bapa, kawan dan pensyarah agar ilmu itu diberkati serta rajin bertanya kepada pensyarah terhadap soalan yang kurang difahami dan menghafaz al-quran, solat hajat kerana Allah akan membantu hambanya yang meletak sepenuh harapan kepada Allah.
“Harapan semoga dapat menabur bakti dan berjasa kepada keluarga, masyarakat, agama dan negara. Semoga dapat menjadi pendidik di masa hadapan dan inspirasi kepada mahasiswa lain untuk cemerlang,” ujarnya.
Ramzi Mohamad, ayah kepada dua adik-beradik itu berkata, cabaran yang dihadapi untuk hadir ke Pesta Konvokesyen adalah hujan lebat yang menjadi kekangan kepada beliau sekeluarga.
“Saya risau semasa bertolak dari Terengganu sama ada sempat atau tidak untuk hadir ke majlis Istiadat Konvokesyen anak memandangkan keadaan sudah mula banjir,” katanya.
Namun, katanya, harapan dan doa semoga dipermudahkan Allah untuk melihat kembar naik ke atas pentas menjadi sandaran. Che Romaini Che Ramli, ibu kepada dua adik-beradik itu, berkata dengan memberi pesan kepada kedua-dua anaknya untuk belajar bersungguh-sungguh tetapi waktu solat jangan dilupakan.