Oleh: Nurul Nadira
TANJUNG MALIM 23 NOVEMBER 2023 – Cahaya ilmu dan keberkatan agama menyinari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kehadiran penceramah bebas yang dikenali mesra sebagai Ustaz Dato’ Mohd Kazim Elias. Bicara santai yang sarat dengan berkat ini berlangsung di Dataran Cemerlang Bersama, Kampus Sultan Azlan Shah memperkukuhkan nilai-nilai keagamaan dalam kalangan hadirin.
Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Ustaz Kazim telah berjaya ‘mengikat’ hampir 500 orang pelajar serta penduduk sekitar bumi Muallim selama hampir satu jam setengah untuk mengikuti program bicara santai ‘Healing ke Jalan Allah’ menjadi medan ilmu dan hikmah yang dirangkaikan dengan kelembutan ceramah santai, sentuhan jenaka, dan nyanyian, yang semuanya merupakan tanda pengenalnya.
Dalam kepesatan kehidupan era metropolitan, remaja sering mencari ‘healing’ dalam aktiviti seperti mengunjungi pantai, sungai, atau mendaki gunung. Bagi Ustaz Kazim, ‘healing’ terbaik adalah menikmati hidup dengan penuh syukur. Dalam ceramahnya, beliau menegaskan bahawa kebahagiaan sejati ditemui dengan bersyukur terhadap nikmat yang ada dalam diri kita. Ustaz Kazim menjadikan dirinya sebagai contoh untuk diberikan kepada para penonton bahawa segala penat lelahnya beransur hilang setelah melihat para hadirin yang tidak berganjak walaupun hujan lebat menimpa bumi Muallim. Ini memberikan contoh langsung bagaimana kekuatan keimanan dan kesyukuran boleh mengatasi segala cabaran.

Selain itu, dirinya sebagai penceramah akan merasa tenang apabila diberikan ‘mic’ untuk berceramah atau memberi tazkirah. Maka, hidup sebagai seorang pelajar juga turut akan didatangkan pelbagai masalah mengikut kemampuan diri individu.
Tambahannya lagi, ‘healing’ terbaik yang boleh diterapkan dalam diri adalah tidak membantah arahan mahupun perintah kedua ibu bapa selagi ianya tidak melanggar syarak. Hal ini kerana, keredhaan Allah terletak pada keredhaan seorang ibu sekaligus akan mendatangkan kebahagiaan dalam hidup kita.
Dalam suasana penuh rohaniah dan keinsafan, Bicara Santai ‘Healing ke Jalan Allah’ dengan Ustaz Kazim di UPSI tidak hanya menjadi acara ilmiah, tetapi juga sebuah pengalaman yang mendalam dan bermakna bagi para hadirin, meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwa mereka.