Oleh: Nurul Nadira
TANJUNG MALIM, 25 NOVEMBER 2023– Malam yang penuh kehangatan dan keindahan seni dimeriahkan lagi dengan Konsert Malam Amal bersama artis ARMANI Entertainment Group sempena Pesta Konvokesyen UPSI ke-25.
Program yang bertujuan untuk mengumpul dana bagi tabung amal Palestin ini telah mencuri perhatian ramai dengan inisiatif tabung amal Palestin menjadi tumpuan program ini. Konsep membeli sambil beramal dijalankan melalui pembelian mafla berharga RM25 dan RM5 daripadanya disumbangkan terus kepada tabung amal Palestin.
Momentum konsert semakin melonjak dengan kehadiran bintang-bintang terkenal seperti Mierul Hazli, Arif Kama, Pearl Abdul, COEX, Hasif Upin, Sebrian Shah, Mya Herry, Hariz Danial, Bil Musa, dan Kucaimars yang memukau penonton dengan persembahan yang cukup ‘energertic’.
Bagi peminat yang mengidamkan pengalaman berinteraksi lebih dekat, sesi ‘Meet and Greet’ diadakan pada akhir program. Artis-artis turut mengedarkan ‘postcard’ sebagai tanda kenangan istimewa kepada peminat setia serta mengukuhkan lagi ikatan diantara mereka.
Konsert Malam Amal ARMANI bukan sekadar hiburan semata, tetapi juga satu pengalaman yang memanusiakan dan menguatkan nilai kebajikan. Kehadiran dan sokongan yang begitu menggalakkan daripada masyarakat bukan sahaja menunjukkan keperihatinan yang mendalam terhadap isu kemanusiaan global, tetapi juga mengilhami usaha-usaha kebajikan pada masa akan datang.
Program yang berjaya ini merupakan nyataan bahawa seni tidak sekadar untuk menghibur, tetapi juga sebagai medium menyatukan hati dalam usaha kemanusiaan. Solidariti yang digerakkan melalui seni turut mengukuhkan lagi kebersamaan dalam komuniti tempatan dan di peringkat antarabangsa.
Dalam usaha memastikan keseronokan pengunjung terjaga, pengurusan program telah mengambil langkah proaktif untuk mematuhi tatacara yang ditetapkan, termasuk penempatan penonton secara berasingan mengikut jantina. Keselamatan menjadi keutamaan tanpa mengurangkan keselesaan para penonton semasa menikmati persembahan artistik yang memukau.