Oleh: Ng Zhen Fan Shankar

Tanjung Malim: Persidangan Parlimen Mahasiswa UPSI 2023 merupakan platform terbaik kepada mahasiswa universiti berkumpul untuk berbahas, berbincang, bertukar pendapat dan membuat keputusan mengenai isu yang melibatkan mahasiswa di kampus dan institusi pendidikan tinggi.

Persidangan yang berlangsung pada 18 hingga 19 November itu memainkan peranan penting dalam pembangunan kepimpinan pelajar, kerjasama antara pelbagai universiti dan pemahaman proses demokrasi melibatkan tiga badan utama pimpinan mahasiswa, antaranya adalah Majlis Perwakilan Pelajar, Majlis Mahasiswa Kolej serta badan pelajar di UPSI. Seramai 57 ahli dewan telah bersidang bagi mengemukakan hujah melalui usul yang diketengahkan serta berusaha untuk mencapai kata sepakat.

Dalam persidangan ini, mahasiswa berperanan sebagai wakil pelajar yang membincangkan tentang dasar dan isu-isu yang relevan dengan kehidupan kampus dan masyarakat secara keseluruhannya. Lima kluster yang difokuskan iaitu Kluster Kebajikan, Kemudahan dan Kelastarian Kampus, Kluster Akademik dan Sukan, Kluster Pemerkasaan Mahasiswa, Kluster Isu Semasa serta Kluster Kerohanian dan Pembangunan Sahsiah.

Hasil persidangan akan memberi hala tuju kepada aktiviti dan kesatuan mahasiswa untuk melalui agenda pemerkasaan mahasiswa masa hadapan. Antaranya, ahli dewan mencadangkan untuk meningkatkan kualiti kemudahan dan perkhidmatan di dalam kampus, cadangan untuk mewartakan cuti perayaan dalam takwim akademik,bersetuju menggesa kerajaan untuk meringankan beban mahasiswa dalam mendepani isu kenaikan harga barang dan lain-lain.

UPSI juga merupakan universiti pertama yang melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk turut serta. Persidangan kali ini telah mengundang Adun Behrang, YB Salina Samsudin sebagai Speaker Dewan, manakala perasmian dilakukan oleh Salwati Mohd Aris, Penasihat Undang-undang UPSI. 500 pemerhati mahasiswa serta pemerhati jemputan daripada 20 univeriti awam yang lain turut memberi sokongan penuh Parlimen Mahasiswa UPSI.

Parlimen Mahasiswa UPSI telah melaksanakan 7 program iaitu, Townhall Parlimen Siri 1 & 2, Chit-Chat Parlimen Mahasiswa, Bengkel Parlimen Mahasiswa 1 & 2 serta Persidangan Parlimen Mahasiswa Siri 1 & 2.

Majlis Perasmian Penutupan Parlimen Mahasiswa UPSI 2023 telah disempurnakan oleh Orang Besar Jajahan Muallim, Toh Paduka Setia Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal Hj. Ahmad dan turut dihadiri Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Barisan Pengurusan Tertinggi UPSI, Dekan-dekan, Pengarah-pengarah Pusat Tanggungjawab serta seluruh warga mahasiswa UPSI.

Naib Canselor turut menyatakan bahawa beliau menyokong sepenuhnya usul yang diluluskan dalam persidangan ini dan beliau akan melibatkan pengurusan tertinggi dalam menyelesaikan usul yang diutarakan  bersama.

Parlimen Mahasiswa bertujuan mengasah bakat para mahasiswa untuk lebih berani bersuara dan mengemukakan pandangan dan cadangan untuk penambahbaikan kepada pengurusan universiti di mana ia dilihat mampu mencungkil idea dan perancangan serta memberi ruang kepada mahasiswa UPSI demi meningkatkan imej serta kredibiliti UPSI sebagai universiti pendidikan yang terulung di Malaysia.

Secara keseluruhannya, persidangan Parlimen Mahasiswa adalah satu platform yang penting untuk memupuk pemikiran kritis, kepimpinan dan kesedaran politik dalam kalangan mahasiswa sekaligus membantu mereka memahami isu-isu semasa dan memberi pengalaman berharga dalam berfikiran terbuka dalam perbincangan.

Pelaksanaan Parlimen Mahasiswa juga menyahut hasrat Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin melalui 11 fokus pendidikan tinggi bagi mencapai matlamat yang menjurus kepada harapan dan masa hadapan. Perkara 11 fokus, Pemerkasaan Mahasiswa dalam memberi hak bersuara dan melontarkan pendapat serta memikul lebih banyak tanggungjawab dan ruang membuat keputusan. Seterusnya membantu kedewasaan mahasiswa dan memanusiakan mereka melalui satu pengalaman manis dan pahit, menikmati kejayaan dan menginsafi kegagalan.

Ia juga selaras dengan Aspirasi Naib Canselor 2023 yang disampaikan oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Md Amin Md Taff menekankan lima fokus kecemerlangan UPSI iaitu Modal Insan yang menjadi fokus pertama dalam memastikan mahasiswa diterapkan konsep nilai 5K (Kekeluargaan, Kasih Sayang, Kesegaran, Kesenorokan, dan Kreativiti) serta Konsep 3A ( Akademik, Adab dan Akhlak).

Parlimen Mahasiswa sudah tentu mencapai 10 Pelaksanaan Agenda Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals, SDG) dalam langkah yang sangat penting untuk mencapai matlamat pembangunan mampan di peringkat universiti seperti mempromosikan kesedaran kesihatan mental dan fizikal, serta mendorong penyediaan kemudahan yang menjadikan kampus lebih mesra mahasiswa.

Contohnya, (SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan). Mengusulkan peningkatan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran, kemudahan akses kepada pendidikan, dan inovasi dalam pendidikan. (SDG 4: Quality Education) Memastikan penyertaan penuh daripada wakil mahasiswa tanpa mengira jantina serta mempromosikan kesaksamaan gender di UPSI dengan mengadakan program kesedaran dan mendesak tindakan yang menggalakkan kesaksamaan gender dalam pelbagai aspek kehidupan kampus  (SDG 5: Gender Equality).

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)