Oleh: Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib, Siti Nuraisha Safiyyah Samsurie, Muhammad Syafiq Said &
Mohd Firdaus Malail

Klang: Persatuan Geografi (PERGEO) Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah pengurusan Exco Komuniti dan Kelestarian telah menganjurkan sebuah Program Pergeo Mangrove Revival: Clean and Grow pada 25 November di Mangrove Point, Pelabuhan Klang, Selangor.

Sukarelawan PERGEO telah dibimbing oleh dua buah agensi bukan kerajaan (NGO) alam sekitar iaitu Eco Knight dan Dow untuk menjalankan aktiviti pembersihan hutan paya bakau dan aktiviti penanaman semula pokok bakau.

Program yang bertujuan memupuk semangat kesukarelawanan dalam diri aktivis PERGEO dengan kerjasama agensi bukan kerajaan agar sentiasa sensitif akan keadaan ekosistem hutan paya bakau yang terancam dan memainkan peranan sebagai sukarelawan yang sentiasa menghulurkan bantuan dalam melakukan aktiviti pemuliharaan hutan paya bakau sebagai langkah untuk menyokong agenda SDGs terutamanya SDG 13 (Climate Action). 

Sebagai aktivis PERGEO, program ini membantu dalam memindahkan ilmu berkenaan pendidikan konservasi alam yang dijalankan di Malaysia kepada aktivis PERGEO UPSI. Di samping itu, program ini turut meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab pelajar dalam memulihara hutan bakau sekaligus memberi pendedahan kepada mereka tentang kemahiran dalam mengatasi cabaran Sustainable Development Goals (SDG) yang ke-15 khususnya berkaitan hidupan darat (Life on Land). Program ini juga menekankan aktiviti pemuliharaan hutan paya bakau bagi Fakulti Sains Kemanusiaan dan Jabatan Geografi Alam Sekitar (JGAS) serta SDGs UPSI.

Program ini mampu memberi impak yang besar dalam usaha melestarikan khazanah alam sebagai salah satu aset yang penting kepada negara. Di samping ia merupakan salah satu cara mahasiswa dan mahasiswi PERGEO UPSI untuk berkhidmat dan berbakti dalam menjaga kepelbagaian biodiversiti ekosistem hutan paya bakau sekaligus menjadi tanda sumbangan bakal pendidik kepada negara.

Pengarah Eco Knights, Fadly Bakhtiar berkata, program ini mengetengahkan konsep penjagaan alam sekitar yang memberi fokus kepada ekosistem hutan paya bakau yang selari dengan pegangan organisasi mereka iaitu bidang tumpuannya adalah dalam Pembangunan Komuniti Lestari.

Turut dihadiri, Penasihat Persatuan Geografi iaitu Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib, Yang Di-Pertua iaitu Bushra Assyakira Baharil, Timbalan Yang Di-Pertua 1, Muhammad Syafiq Razali dan Nurhafizah Fadzil. Program ini juga telah dipimpin oleh seorang Pengarah Program iaitu Muhammad Syafiq Said dan Timbalan Pengarah Program, Endrie Ului Exco Komuniti dan Kelestarian Persatuan Geografi sidang 2023/2024.