Oleh: Mohamad Nor Zakuan Abdul Rashid & Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi
Tanjong Malim : Dalam harta yang dititipkan oleh Allah pada kita, terdapat hak orang lain. Perkara ini juga ada dinyatakan di dalam Al-quran. Oleh karena itu, kita harus membersihkan harta kita dari hak-hak orang lain, karena kesemua harta yang dimiliki akan dimintai pertanggungjawaban oleh Allah SWT.
Bagi menyokong nilai murni ini, pendidik Tadika Bitara NCDRC menganjurkan program Home of the Heroues (Dari Rumah kepada mereka yang memerlukan) pada 13 hingga 15 Disember yang lalu.
Program berkonsepkan ‘Marvelous Preloved’ diadakan di Perkarangan Tadika Bitara NCDRC dengan melibatkan seramai 50 lebih kanak-kanak NCDRC yang berumur 5 dan 6 tahun.
Pendidik NCDRC, Nur Hidayah Shazira Mohd Shukor menyatakan bahawa program ini adalah inisiatif bersama oleh semua pendidik di Tadika Bitara untuk menerapkan nilai syukur dan sifat memberi dalam diri kanak-kanak.
“Saya suka kongsikan kepada anak-anak saya bahawa kita perlu sentiasa mensyukuri apa yang tiada dan menghargai apa yang ada. Program ini memang kami bawakan untuk mendekatkan kanak-kanak dengan rasa syukur dan sifat untuk saling memberi kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Tidak hanya memberi, kanak-kanak juga boleh membeli barangan yang mereka suka dan hasil dari penjualan ini sepenuhnya akan diberikan kepada anak yatim dan golongan yang memerlukan.
Penglibatan penuh ibubapa dalam menjayakan program ini menunjukkan bahawa mereka sentiasa menyokong usaha pendidik dalam menerapkan nilai murni dalam diri anak-anak mereka dan bekerjasama dengan pendidik untuk memastikan keberhasilan objektif pembelajaran anak-anak NCDRC.
Selain itu juga, NCDRC membuka ruang kepada semua staf UPSI dan komuniti untuk memberi sumbangan buku cerita, buku kanak-kanak dan apa jua jenis bacaan yang dapat digunakan dalam pendidikan anak-anak. Buku-buku ini juga akan dikongsikan kepada sekolah-sekolah yang memerlukan.
Pengarah NCDRC, Prof Madya Dr. Mazlina Che Mustafa menzahirkan rasa syukur dan bangga diatas inisiatif pendidik NCDRC khususnya dalam menanam nilai kemanusiaan dalam diri kanak-kanak.
“Dalam kita sentiasa ingin memberikan yang terbaik dalam akademik, ia perlu diseimbangkan dengan menanam nilai murni dan sentuhan rohani dalam pendidikan anak-anak kita. Keseimbangan inilah yang akan menjadikan anak-anak kita seorang yang holistik dan mampu memberikan manfaat kepada masyarakat suatu hari nanti,” ujarnya.
Norazlina Khairuddin, Pengurus Taska Permata dan Tadika Bitara NCDRC menyatakan hasratnya untuk program-program ini tidak hanya dijalankan sekali sahaja.
“Kita mempunyai NCDRC di KSAS dan juga NCDRC di Blok D, KSAJS. Program ini terbuka kepada semua dan saya akan sentiasa menyokong program yang memberikan manfaat kepada kanak-kanak kita. Tugas kita sekarang untuk menjadikan siapa mereka suatu hari nanti,” katanya.
Tambahnya NCDRC akan sentiasa membuka pintu agensi-agensi yang ingin bekerjasama dalam menganjurkan program komuniti bagi melestarikan sifat kemanusiaan dalam diri kanak-kanak NCDRC dan warga UPSI.