Tanjong Malim: Program pemindahan ilmu (KPT) di bawah geran penyelidikan bagi Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) yang memberi fokus kepada latihan fizikal dan kadiovaskular dalam kalangan jurulatih dan pemanah yang telah dilaksanakan di Kompleks Sukan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 1 hingga 3 Disember 2.
Program yang melibatkan 30 orang peserta (jurulatih dan atlet memanah) dari Kelab Memanah Freedah Archery, Kelab Memanah Wolfpack (BJWP), Pasukan Memanah Wilayah Persetuan (WIPERS) dan persendirian yang telah turut serta dalam program ini. Program ini telah berjalan dengan lancar dan telah mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada semua pihak.
Setiap peserta telah memberi maklumbalas yang positif dan dapat mendalami ilmu yang dikongsi bersama dengan baik. Program ini melibatkan aktiviti pengajaran secara teori dan amali bersemuka dengan pihak agensi bagi kemahiran-kemahiran asas latihan fizikal dan kardiovaskular yang telah dibina sendiri oleh Dr. Mon Redee Sut Txi, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSKJ) selaku ketua program ini.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik termasuk teori dan amali telah dijalankan seperti latihan pemanasan badan, latihan fizikal, latihan kardiovaskular, latihan bebahan, latihan core, latihan regangan serta pembinaan program latihan yang sistematik dalam sukan memanah mengikut peringkat umur dan tahap pencapaian masing-masing. Ia sekaligus telah berjaya mencapai objektif program iaitu memastikan para peserta dapat memahami dan melaksanakan kemahiran latihan fizikal dalam latihan harian mereka, memperinci pelbagai jenis program latihan yang sesuai bagi setiap peringkat umur, menguasai prinsip asas dan kaedah latihan serta menunjukkan aplikasi pemahaman konsep latihan fizikal dan kardiovaskular yang selamat, tepat dan sistematik.
Semoga program ini akan menjadi bukti dalam program pemindahan dan pemantapan ilmu dalam bidang sains sukan dan kejurulatihan. Selain itu, program ini juga diharapkan akan menjadi satu panduan kepada fasa-fasa program pada masa akan datang kepada organisasi berkaitan sukan memanah di Malaysia. Tambahan lagi, ia juga akan dapat meningkatkan kemampuan dan kecekapan para jurulatih dan pemanah dalam mengelola latihan kemahiran sains sukan dan kejurulatihan terutamanya dari segi aspek fizikal.