Oleh: Muhammad Nur Fadzly Thomas
Solo, Indonesia: Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (UPSI) telah menghantar pelajar dari Ijazah Sarjana Muda Kejurulatihan Sukan bagi mengikuti program pertukaran pelajar di Universitas Sebelas Maret Indonesia. Antara fokus utama program ini ialah untuk memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan Kejurulatihan Paralimpik. Universitas Sebelas Maret dengan kerjasama National Paralympic Committee (NPC) Indonesia telah dilantik untuk menjadi pusat latihan bagi atlet Paralimpik Indonesia menjadikan kebanyakan atlet paralimpik Indonesia akan berkampung di UNS.
Dalam sesi kali ini, para pelajar berpeluang belajar dan mencuba sukan Tenis Kerusi Roda ini bersama dengan para atlit paralimpik Indonesia iaitu Sriatun, Husen, Wahyudi dan Hanna serta dua jurulatih iaitu coach Satria dan juga coach Bino di gelanggang tenis Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan (UNS).
Sesi dimulakan dengan pengenalan mengenai anatomi kerusi roda yang digunakan untuk sukan tenis. Terdapat beberapa modifikasi dan perbezaan untuk kerusi roda ini seperti sudut roda yang dicondongkan dan roda tambahan dibelakang kerusi untuk menambah kestabilan. Kerusi roda ini lebih ringan berbanding dengan kerusi roda biasa bergantung dengan bahan yang digunakan. Setiap kerusi roda akan ditempah khas mengikut spesifikasi dan kesesuaian setiap atlit. Produk ini mengambil masa seminggu selepas tempahan dibuat daripada pembekal negara luar seperti Singapura dan Thailand. Kos bagi satu unit mencecah harga RM50 ribu bergantung dengan kualiti bahan yang digunakan sama ada besi, aluminium atau titanium.
Saiz gelanggang, jenis raket dan peraturan dengan tenis biasa masih sama, tetapi terdapat satu perbezaan utama bola boleh melantun sebanyak dua kali. Sukan ini memerlukan banyak kekuatan bahagian badan atas terutamanya tangan.
“Sukan ini mengambil masa lebih dari sepuluh tahun untuk menguasai sepenuhnya” kata coach Satria semasa sesi temu bual oleh pelajar. Bagi pemula, teknik dan kemahiran memukul bola akan diterapkan terlebih dahulu sebelum sebelum mengikuti program latihan penuh. Latihan dilakukan enam hari seminggu iaitu Isnin hingga Sabtu. Tiga hari latihan angkat beban dan tiga hari latihan di gelanggang.
Seterusnya, semua pelajar berpeluang untuk mencuba dan belajar sukan ini secara langsung bersama dengan para atlet. “Lebih sukar daripada yang dijangkakan. Banyak masa dan latihan yang diperlukan untuk menguasai kemahiran sukan ini,” komen salah seorang pelajar Nurul Natrah setelah mencuba bermain tenis menggunakan kerusi roda.
Para pelajar juga berpeluang menemu bual para atlet dan salah seorangnya adalah Sriatun, seorang atlit senior di wilayah tersebut. Beliau mula bermain dari tahun 2005 sehingga ke peringkat antarabangsa. Beliau memilih sukan sebagai motivasi untuk melangkah kedepan dan terus berjuang dalam kehidupan.
Beliau pernah terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya dan akibat daripada kemalangan tersebut, beliau hilang keupayaan untuk berjalan. Mempunyai minat dalam bermain tenis, hilang keupayaan untuk berjalan bukanlah penghalang untuk meneruskan minatnya dalam sukan tenis. “ORANG LAIN BOLEH, SAYA PASTI BOLEH,” kata Sriatun semasa sesi temubual dalam meneruskan minatnya dan menceburi sukan paralimpik tenis sehingga ke peringkat antarabangsa.