Oleh: Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi & Pollie Lim Poh Yue
Tanjong Malim: Jalinan kerjasama antarabangsa menjadi medan perkongsian kepakaran merentasi sempadan. Kerjasama ini membuktikan bahawa UPSI sentiasa komited untuk menjadi Peneraju Kebitaraan Pendidikan Negara.
UPSI melalui Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) melaksanakan Program Mobiliti Antarabangsa dengan melibatkan mahasiswa dan pensyarah UPSI ke Fakultas Tarbiyah dan Keguruan, Universitas Islam Negeri Sultan Maulana Hasanuddin Banten, Indonesia.
Program yang berlangsung selama lapan hari tersebut bertujuan menjalin kerjasama dalam bidang pendidikan dan saling berkongsi kepakaran serta idea untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan kedua-dua negara.
Dr Kway Eng Hock, Ketua Jabatan Pendidikan Khas FPM menyatakan program mobiliti ini membawa tugas besar untuk saling berkongsi kepakaran dalam bidang pendidikan sekaligus memberikan gambaran kepada mahasiswa betapa pentingnya untuk meluaskan lagi pengetahuan dan pengalaman menimba ilmu di negara lain.
“Program mobiliti ini sememangnya memberi peluang kepada mahasiswa UPSI untuk memahami sistem pendidikan di negara lain agar apabila mereka kembali ke UPSI, mereka akan membawa sebuah idea yang mampu membawa nama baik UPSI di peringkat antarabangsa sekaligus berkongsi kepada mahasiswa lain tentang apa yang mereka pelajari,” ujarnya.
Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak FPM, Dr Seah Siok Peh menambah bahawa kolaborasi ini akan mendatangkan faedah kepada mahasiswa untuk menjalankan kolaborasi untuk program-program kedepan.
“Melalui program ini dapat meningkatkan kerjasama dan jalinan antara kedua-dua universiti. Selain itu, melalui pengalaman ini, pelajar juga diberi peluang untuk belajar dalam suasana yang berbeza bahasa dan juga budaya. Pertukaran ini juga dapat meningkatkan kolaborasi dlm kalangan mahasiswa pada masa yang akan datang,” katanya lagi.
Kerjasama silang budaya ini membawa impak besar mahasiswa untuk menjadi seorang mahasiswa dengan pakej yang lengkap dari segi pengetahuan, pengalaman dan berdaya saing dalam sektor pendidikan.
Nursabrina Mataip, mahasiswa ISMP bimbingan kaunseling menjelaskan bahawa penerapan ilmu kaunseling yang digunakan di UIN SMH Banten menjurus kepada pendekatan islam sebagai tema utama.
“Saya melihat bagaimana sistem kaunseling yang diterapkan kepada mahasiswa mereka adalah kaunseling berteraskan islam. Di UPSI, kami diajarkan pelbagai falsafah kaunseling dengan melihat pelbagai faktor dan melalui mobilti antarabangsa ini, saya mendapat pengetahuan berkaitan konsep kaunseling dalam agama islam,” katanya.
Mahasiswa UPSI disajikan dengam pelbagai perkongsian pakar berkaitan pendidikan dan juga menikmati sajian mata melihat keindahan dan kemegahan kota Jakarta yang penuh dengan sejarah dan budayanya. Mereka juga dihadiahkan pakaian batik tradisional masyarakat banten sebagai sumbangsih dan kenangan untuk dibawa pulang ke tanah air.
UPSI melalui FPM akan terus memperkasakan budaya pendidikan yang bermutu dengan memberikan peluang kepada mahasiswa untuk belajar dan memahami dunia pendidikan dengan lebih luas. Mahasiswa UPSI akan terus menjadi wajah kejayaan UPSI dalam melahirkan bakal guru yang berpotensi tinggi serta berkaliber serta mampu membawa nama baik UPSI sebagai Peneraju Kebitaraan Pendidikan.