Oleh: Muhammad Tahfiz Tono & Dr. Anis Nazihah Mat Daud

TANJUNG MALIM- Fun Exploration In Science & Mathematics anjuran Fakulti Sains dan Matematik (FSM) telah menarik minat kanak-kanak dan komuniti dalam mendalami ilmu STEM melalui pelbagai aktiviti dan pameran yang menarik.

Program ini dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar pada 16 Disember yang lalu. Dalam ucapannya, Profesor Dr. Suriani berkata, aktiviti luar bilik darjah ini menggalakkan kanak-kanak untuk kurang bermain telefon pintar dan berinteraksi secara langsung dengan aktiviti menarik yang ada sepanjang program ini.

Prof Dr Suriani menyampaikan ucapan semasa program

“Generasi muda kini lebih gemar meluangkan masa bermain telefon pintar berbanding melakukan aktiviti luar yang berfaedah. Dengan adanya program pada hari ini, kanak-kanak dapat menanam sifat ingin tahu dan mempunyai minat yang mendalam akan subjek Sains dan Matematik,” ujar Prof Dr Suriani.

Pelbagai aktiviti menarik yang dilaksanakan oleh wakil persatuan

Penglibatan ahli kelab dan persatuan seperti Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU), Kelab Rakan Astronomi (RASTRO), Kelab Rakan Alam Sekitar (RAS) dan juga Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) membawa pendekatan yang seronok melalui permainan berasaskan Matematik, pendekatan teknologi VR dalam mencerap bintang serta penggunaan STEM AR Board Games dalam mempelajari ilmu asas STEM.

Aktiviti mewarna dan permainan berasaskan robot ketika program

Pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan Pertandingan Futsal M-Bot juga membuatkan pengunjung dapat meluangkan masa bersama ahli keluarga serta menarik minat mereka dalam penggunaan robot yang dianjurkan oleh STEM Nurturing Centre UPSI. Kanak-kanak dan pengunjung dapat belajar cara untuk menggerakkan robot dengan menggunakkan kod secara blok di gerai STEM Nurturing Centre UPSI. Keterujaan pengunjung dapat menarik minat mereka untuk mempelajari dengan lebih lanjut bagaimana robot itu dapat bergerak melalui arahan yang diterima melalui blok-blok kod yang disusun.

Diharap program seperti ini akan menarik minat lebih ramai generasi muda dalam mendalami ilmu STEM yang merupakan tunjang utama dalam kemajuan sains dan teknologi negara. Persepsi generasi muda terhadap bidang STEM susah dan kerjaya yang tidak begitu baik berbanding bidang-bidang lain ini juga perlu dikikis. Bidang STEM ini amat diperlukan bagi melonjak negara agar dapat berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)