Oleh: Dr. Anis Diyana Halim
UPSI: Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris sentiasa komited untuk menyokong perkembangan pendidikan Sains di Malaysia. Justeru, program Physics Outreach telah dilaksanakan di dua buah sekolah iaitu SM Sains Alam Shah (ASiS) dan SM Sains Seri Puteri (SESERI) selari dengan hasrat ini.
Seramai 114 orang murid tingkatan 4 dan 39 orang pelajar UPSI terlibat dalam program “Physic Outreach UPSI-ASiS”. Manakala, seramai 89 orang murid tingkatan 4 dan 20 orang pelajar UPSI terlibat dalam program “Physics Outreach UPSI-SESERI”. Program ini adalah program pemindahan ilmu melalui aktiviti SULAM iaitu Program Santun Masyarakat (PSM) dengan penglibatan pelajar kursus KPG 3013 Insan Guru Profesional program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Fizik) semester 5.
Pelaksanaan program ini seiring dengan matlamat pendidikan di Malaysia yang bertujuan untuk menghasilkan murid yang bukan sahaja berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang sains, tetapi juga dapat mengaplikasikan ilmu pengetahuan yang dimiliki dalam situasi dunia sebenar. Program ini memberi fokus kepada konsep–konsep Fizik yang dipelajari oleh murid-murid tingkatan 4.
Menurut guru Fizik ASiS, Encik Zulkifli Ahmad, program ini memberi peluang kepada murid untuk belajar di luar kelas dengan lebih bermakna.
“Program ini amat membantu murid untuk memahami konsep-konsep Fizik. Aktiviti yang disediakan sangat menarik dan boleh diteruskan lagi di masa akan datang”, katanya.
Program dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi pagi dan sesi petang. Pada sesi pagi, sebanyak 10 reruai disediakan. Setiap reruai mengandungi pelbagai aktiviti praktikal yang disediakan oleh pelajar ISMP Fizik berkaitan konsep-konsep Fizik. Aktiviti yang disediakan memberi peluang kepada murid-murid untuk belajar melalui penerokaan sekaligus memantapkan kefahaman konsep-konsep Fizik mereka.
Pada sesi petang, aktiviti ‘explorace’ berkaitan konsep-konsep Fizik disediakan kepada murid-murid. Murid-murid diberikan cabaran dan bertanding untuk memenangi aktiviti ini. Aktiviti ini memberi peluang kepada murid untuk mengaplikasikan ilmu pengetahuan berkaitan konsep Fizik yang telah diperolehi pada aktiviti sesi pagi.
Program ini diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada murid-murid yang berjaya di dalam aktiviti explorace, penyampaian sijil penghargaan kepada pihak sekolah dan sesi bergambar.
Program ini juga turut mendapat sambutan dan sokongan dari pihak pentadbir di ASiS dan SESERI. Turut hadir bersama ke program ini adalah pentadbir dan guru-guru Fizik di ASiS dan SESERI.