Oleh: Nurul Nadira

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), 28 Disember 2023 – Dalam usaha untuk memastikan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) UPSI berjalan lancar dan calon berada dalam keadaan yang bersedia, UPSI telah menganjurkan bengkel pemilihan calon sebagai salah satu syarat kelayakan bagi calon yang berhasrat untuk bertanding dalam PMPP bagi sidang 2023/2024.

Bengkel yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini merupakan program intensif yang diadakan pada hari Selasa hingga Khamis, bermula dari 26 Disember 2023 hingga 28 Disember 2023. Teratak Riverview yang telah menjadi pilihan sebagai tempat pengendalian bengkel ini, memberi peluang kepada calon untuk menjalani sesi pembelajaran dalam suasana yang kondusif.

Tujuan utama bengkel ini adalah mendedahkan kepimpinan dan kebolehan calon dalam menjalani tugas sebagai Majlis Perwakilan Pelajar. UPSI menyakini bahawa dengan menyediakan platform yang sesuai, mereka dapat melahirkan pemimpin pelajar yang berkualiti dan beretika. Kesemua calon PMPP merupakan mahasiswa/i UPSI yang masih menjalani pengajian di universiti ini.

Selain itu, bengkel ini juga memberi penekanan kepada tatacara yang perlu dipatuhi oleh calon sepanjang proses PMPP 2023/2024 berlangsung. Ini termasuklah tatacara pengisian borang calon, etika berkempen dan tatacara bantahan dan rayuan calon. Ia penting bagi calon untuk memahami dan mematuhi panduan ini demi menjaga integriti pilihanraya dan memastikan proses pemilihan berjalan dengan lancar.

Bengkel calon PMPP ini juga dibantu oleh ahli Campus Election Organization (CEO) yang akan memberikan bantuan dan arahan kepada calon. Dengan bimbingan daripada ahli CEO, calon dapat memahami lebih mendalam mengenai tanggungjawab dan tugas yang perlu dijalankan sebagai calon PMPP sidang kali ini.

Dengan bengkel pemilihan PMPP ini, UPSI berharap dapat melahirkan pemimpin pelajar yang tidak hanya cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga memiliki kepimpinan yang kukuh dan nilai-nilai moral yang tinggi, membawa semangat kecemerlangan ke dalam kepimpinan pelajar universiti.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)