Oleh: Nisa Aliza Ahmad Ridzwan dan Aldianie Alim
UPSI, Tanjong Malim – Kata orang, ‘sijil’ ini adalah penentu kepada kelayakan seseorang untuk meneruskan langkah ke menara gading. Ingin menamatkan zaman sekolah menengah juga memerlukan ’sijil’ ini. Ya, sijil inilah yang dipanggil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sebut sahaja SPM, segala memori pahit manis yang terbuku akan diceritakan satu persatu oleh mereka yang sudah melepasi tahap ini. Namun, apa kata mereka yang bakal menghadapi peperiksaan ini?
Siaga mental dan fizikal calon SPM SMK Taman Tasik Ampang membawa seramai 88 orang pelajar tingkatan 5 ke Kolej Ungku Omar (KUO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai satu inisiatif pihak sekolah untuk meningkatkan lagi motivasi pelajar sebelum menduduki SPM.
Dengan kerjasama Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar, KUO telah menjadi pusat perkampungan ilmu pelajar tingkatan 5 selama 3 hari 2 malam di bawah program Perkampungan Ilmu SMKTT x KUO.
Program yang dijalankan ini berfokus sepenuhnya kepada pembangunan akademik pelajar dalam subjek teras serta subjek elektif. Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar yang majoritinya merupakan bakal pendidikan memainkan peranan sebagai fasilitator dalam slot akademik yang memberi tumpuan kepada subjek Pendidikan Islam/Moral,Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Kimia, Matematik dan Sejarah.
“Belajar, belajar juga. Kesihatan mental tetap nombor 1”. Itulah ayat yang ditekankan oleh Pengarah Program, Hamiz Mijin. Slot riadah yang diadakan sedikit sebanyak membantu pelajar melupakan rasa tekanan dan takut menjelang peperiksaan yang akan berlangsung tidak lama lagi. Tidak ketinggalan juga slot motivasi yang dikendalikan oleh Dr.Nuzsep Almigo banyak membantu pelajar untuk muhasabah diri sekaligus mendapat suntikan semangat yang kuat untuk terus berjuang dan bersaing secara sihat.
Ketua felo Kolej Ungku Omar, Mohd Alamin Ismail berkata “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih dalam memperoleh sesuatu yang bernilai. Justeru itu, melalui program yang telah dirancang ini diharap agar semua murid dapat melakukan pelbagai usaha dalam menyiapkan diri serta memikirkan pelbagai inisiatif sehingga apa yang diinginkan itu tercapai dan berguna untuk masa depan sebagai seorang murid bagi mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM.”
“Program Perkampungan Ilmu KUO x SMKTT ini sememangnya memberikan impak yang baik terhadap akademik murid seperti mana objektif program untuk membantu murid-murid mempunyai matlamat yang jelas demi mencapai kecemerlangan akademik mereka untuk terus berusaha ke arah intelektual dan mempunyai tujuan dalam mencapai masa depan yang lebih cerah,” kata Hajah Zainun Muda, Pengetua SMK Taman Tasik dalam ucapannya semasa majlis penutupan program.
Melalui program ini juga ianya dapat memberi keyakinan kepada murid dalam menghadapi peperiksaan dan menyemai semangat bersaing secara sihat dalam kalangan mereka bagi mencapai kejayaan dan mengharumkan nama sekolah sekaligus meningkatkan kualiti akademik berdasarkan kecemerlangan SPM dengan nilai gred purata sekolah (GPS) yang disasarkan.