Oleh: Mohamad Aniq Aieman, Nur Syamimi Athilah & Nurin Zahreena
Tanjong Malim – Exco Ekonomi dan Keusahawanan Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (MMKAB) bagi sidang 2023/2024 telah menganjurkan Program Mini Bazaar yang memfokuskan semua mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris bagi memupuk ilmu keusahawanan yang berlangsung di sekitar perkarangan Kolej Aminuddin Baki, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Mini Bazaar dianjurkan pada setiap hari Rabu, bermula jam 3 petang sehingga jam 10 malam bagi memberi peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi membeli makanan berdekatan dengan Kolej Kediaman mereka. Program ini telah pun berjaya dilaksanakan pada 8, 15, 22 dan 29 November 2023 yang lalu.
Objektif Mini Bazaar ini dijalankan adalah untuk memberi peluang dan pendekatan kepada mahasiswa dan mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris, pengusaha kecil dan usahawan daripada luar bagi memberikan pendedahan awal berkaitan ilmu keusahawanan kepada mereka sekaligus dapat bergiat lebih aktif dalam aktiviti keusahawanan.
Selain itu, Mini Bazaar ini telah banyak menerima maklum balas yang positif daripada mahasiswa dan mahasiswi terutama sekali disambut baik oleh penghuni daripada Kolej Aminuddin Baki yang baru berkecimpung ke dunia keusahawanan.
Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua peringkat mahasiswa yang mendiami kolej kediaman malah mahasiswa luar kampus termasuk dengan kehadiran orang awam.
Terdapat lebih 10 penggerai dan beberapa buah “Food Truck” yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi UPSI serta orang awam yang melaksanakan perniagaan di Mini Bazaar Kolej Aminuddin Baki ini. Antara makanan yang dijual sepanjang program Mini Bazaar ini berlangsung adalah seperti Takoyaki, baby pancake, koktel buah, putu, jualan bundle dan bermacam lagi aneka makanan.
Suasana meriah dapat digambarkan dengan lebih jelas pada lewat petang apabila penghuni Kolej Aminuddin Baki baru sahaja pulang daripada kuliah. Kedudukan Mini Bazaar yang berada di antara blok kediaman ini menjadikan Mini Bazaar sebagai daya tarikan yang baharu yang menjadi tumpuan orang ramai untuk singgah sebentar membeli makanan dan minuman disitu.
Diharapkan agar program Mini Bazaar ini dapat diteruskan lagi pada masa yang mendatang supaya dapat mengalakkan lebih ramai mahasiswa dan mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk tampil kehadapan menjadi usahawan muda yang berjaya suatu hari nanti, di samping dapat menjana pendapatan mahasiswa dan mahasiswi untuk menampung keperluan yang lain.
Akhir sekali, Pihak Kolej Aminuddin Baki mengucapkan sekalung penghargaan kepada para peniaga, usahawan luar dan pelajar-pelajar yang telah berjaya menjayakan program ini. Semoga inisiatif Mini Bazaar ini juga dapat mencungkil bakat dan minat yang mendalam tentang ilmu keusahawanan disamping dapat menarik minat penghuni untuk membeli makanan dan minuman disitu. Tambahan pula, semoga program ini dapat melahirkan lebih ramai lagi usahawan di peringkat belia demi memajukan ekonomi masyarakat dan negara.