Oleh: Nur Amirah Hana Azizi

TANJUNG MALIM- Karnival Kerjaya Pendidikan 2023 telah berlangsung pada 1 November yang lalu. Program ini dirasmikan oleh Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff.

Naib Canselor berkata dalam ucapan perasmiannya, “Program Karnival Kerjaya Pendidikan 2023 yang julung kali dianjurkan oleh EDGE merupakan platform kepada pihak universiti untuk memberi ruang dan peluang kepada industri bagi memberi penerangan kepada pelajar berkaitan peranan dan keperluan di pihak mereka agar pihak universiti sentiasa peka dan kompetitif dalam melahirkan graduan yang relevan dengan keperluan industri.”

Karnival Kerjaya Pendidikan yang diadakan di Panggung Percubaan, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah ini telah dihadiri seramai 3900 orang pelajar termasuk orang awam yang turut sama-sama memeriahkan karnival tersebut. Karnival Kerjaya Pendidikan 2023 ini merupakan anjuran Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan dengan kerjasama Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), PERKESO dan MyGRAD.

Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan, Dr. Sharul Effendy Janudin berkata “Karnival Kerjaya Pendidikan 2023 ini bertujuan untuk memberi pendedahan maklumat kepada pelajar serta graduan UPSI mengenai peluang kerjaya berteraskan pendidikan yang ditawarkan oleh pihak luar atau industri selain sekolah kerajaan.”

Antara perkongsian industri yang terlibat dalam menjayakan Karnival Kerjaya Pendidikan UPSI 2023 ini terdiri daripada Warnakala Studios, Kiddocare, I-learn, Al Fikh Orchard, MC+ Plus, PASAK, PROTON, MYFuture Jobs, KWSP dan Azman Hamzah Plastik Sdn. Bhd.

EDGE mengambil langkah pertama mengadakan Karnival Kerjaya Pendidikan untuk melihat sejauh mana program ini mampu menarik minat pelajar serta penglibatan industri dan berharap melalui program ini dapat memperkenalkan produk inovasi pendidikan yang dihasilkan di UPSI kepada industri luar serta meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan UPSI.