Oleh: Nur Amirah Hana Azizi (EDGE)

TANJUNG MALIM: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menjayakan Karnival Bank Rakyat UNIpreneur 2023 dan UPSIpreneur bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bertempat di Bangunan Bitarasiswa, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Karnival Bank Rakyat yang diadakan selama dua hari pada 15 dan 16 November 2023 berjaya menarik minat pengunjung apabila Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membuat sesi perkongsian mengenai cara-cara pendaftaran syarikat atau perniagaan sekaligus membantu pelajar-pelajar yang berminat mendaftar perniagaan secara atas talian.

Selain pendedahan perniagaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut membuka kaunter pendaftaran bagi mengaktifkan perniagaan di mana pelajar dikehendaki untuk melengkapkan maklumat yang diperlukan bagi melayakkan mereka untuk memiliki Sijil SSM sebelum memulakan perniagaan. Melalui inisiatif ini, seramai 80 orang pelajar telah mendaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Sesi perkongsian oleh pelajar Bank Rakyat 2.0

Pelajar Bank Rakyat 2.0 yang terlibat dalam karnival ini turut mengambil peluang untuk berkongsi pengalaman pahit manis dalam mengekalkan perniagaan mereka dan ada juga yang telah berjaya mengeluarkan produk sendiri. Tidak dinafikan, perkongsian yang meningkatkan semangat peniaga ini mendapat maklum balas yang positif dalam kalangan pengunjung terutamanya mereka yang berada dalam dunia perniagaan.

Wakil Bank Rakyat daripada Tanjong Malim turut hadir berkongsi maklumat dan menasihati pelajar yang hadir agar menggunakan dana yang telah diberikan sebaik mungkin untuk mengembangkan perniagaan kerana ia adalah salah satu peluang untuk meneruskan kerjaya sebagai usahawan apabila tamat pengajian kelak

Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan, Dr. Sharul Effendy Janudin berkata “Karnival Bank Rakyat ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada pelajar UPSIpreneur tentang realiti sebenar berniaga dalam komposisi yang sebenar dan berharap dapat meningkatkan hubungan antara pengurusan EDGE bersama UPSIpreneur agar dapat berkongsi ilmu, membimbing serta menasihati pelajar hal-hal berkaitan perniagaan”.

Penyerahan sijil Bank Rakyat 2.0 kepada pelajar

Karnival yang dijalankan ini memberi pemahaman yang jelas kepada pengunjung generasi muda khususnya pelajar yang baru sahaja mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dapat lebih memahami selok belok berniaga yang betul melalui garis panduan yang diberikan oleh pihak SSM.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)