Oleh: Dr. Siti Shuhaida Shukor & Dr. Hamidah Idris
Kuala Kangsar: Bengkel Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) dalam Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) melalui lensa University of Pennsylvania anjuran Peserta Perantisan NPQEL Ambilan 1/2024 SMK Bukit Merchu dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung dengan jayanya pada 6 Februari yang lalu di Dewan Kenanga, Hotel Casuarina, Kuala Kangsar.
Seramai 80 peserta mengikuti kursus yang dikendalikan oleh lima penceramah daripada UPSI iaitu Dr. Mohd Ikhwan Hadi Yaacob, selaku penceramah utama yang berkongsi pengalaman dan ilmu yang dipelajari beliau semasa menjalani latihan intensif PennPBL Institute di University of Pennsylvania pada Oktober tahun lepas.

Sesi bengkel itu juga turut dikendalikan bersama oleh rakan penceramah termasuk Mahanum Muhammad dan Nazrul Azlan Musa.
Kerangka yang diperkenalkan oleh PennPBL memberikan penekanan kepada empat prinsip asas yang penting dalam pelaksanaan pembelajaran berasaskan projek dalam pembelajaran dan pemudahcaraan dalam konteks di sekolah.
Elemen utama seperti bidang/disiplin, kolaboratif, pengulangan, autentik menjadi tunggak utama dalam memastikan projek yang dirangka menepati agenda Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015-2025) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Matlamat Pembangunan Mampan.
Antara lain, objektif utama bengkel ini adalah untuk memberikan idea kepada guru-guru bagi mempelbagaikan pendekatan pengajaran dan pembelajaran bagi menghasilkan sesi yang berimpak dan menyumbang kepada kemenjadian pelajar. Pengisian Bengkel PBL dalam PdPc ini menekankan pelaksanaan PBL dalam pelbagai bidang yang diaplikasikan melalui aktiviti hands on di mana peserta bengkel melakukan tugasan berkumpulan dengan merangka projek mengikut acuan PBL.
Dalam aktiviti ini peserta dibawa kepada pengalaman dan kepentingan integrasi pelbagai bidang dalam aktiviti PdPc untuk dilaksanakan di bilik darjah dan berkongsi pendapat disamping membincangkan cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan PBL di peringkat sekolah masing-masing.


Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Kangsar, Ahmad Sabri Abdul Ghani, ketika berucap merasmikan bengkel berkata kaedah pengajaran yang terkini seperti PBL dilihat sebagai salah satu kaedah yang amat menarik dan dapat menarik generasi masa kini untuk memberikan tumpuan sepenuhnya ketika belajar.
“Kaedah sebegini adalah penting dalam memastikan guru-guru dapat menarik minat pelajar selari dengan peredaran zaman kini dan saya berharap segala kaedah yang dipelajari guru-guru sewaktu bengkel ini dapat dilaksanakan di peringkat sekolah dalam melahirkan bukan sahaja pelajar yang berinovasi, malahan memupuk semangat dan minat guru-guru untuk berinovasi.”
Beliau juga berharap agar kepentingan dan cara pelaksanaan pendekatan PBL dapat disebarluaskan kepada para pendidik di Malaysia dan menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan dan modal insan negara.