Oleh: Dr. Siti Shuhaida Shukor

SERI ISKANDAR– Seramai 24 delegasi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan lawatan penanda aras ke Career Development Office (CDO) dan UTP Technopreneurship Centre, Universiti Teknologi Petronas, Perak pada 24 Januari lalu.

Rombongan delegasi membawa satu misi penting untuk mempelajari kaedah pengurusan di Career Development Office (CDO) dan UTP Technopreneurship Centre demi menambah baik pengurusan dan perkhidmatan dalam mendukung aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi, yang menggalakkan institut pengajian tinggi awam mempelajari selok belok pentadbiran kebolehpasaran graduan dan pembangunan keusahawan dari lensa institut pengajian tinggi swasta. 

Pihak UTP telah berkongsi dengan delegasi UPSI tentang kaedah-kaedah yang digunakan di Career Development Office (CDO) dalam menghasilkan graduan UTP yang mempunyai nilai kepimpinan tinggi, sikap berdaya saing yang dapat memenuhi keperluan bakal majikan. Sesi perkongsian ini perlu dijadikan sebagai kayu ukur dalam meningkatkan kualiti pelajar dan graduan uang dihasilkam UPSI terutamanya dalam bidang keusahawanan serta kebolehpasaran graduan.

Pihak UTP menyambut baik kedatangan delegasi UPSI dan membawa rombongan melawat Garage@21 yang menempatkan mesin pencetak 3D dan MyKitchenLab yang mempunyai peralatan memasak yang lengkap yang boleh digunakan oleh pelajar UTP. Delegasi juga dibawa ke perpustakaan UTP yang begitu unik dan indah reka bentuknya.

Ekosistem yang efisyen dan inovatif melalui transformasi sistem maklumat pelajar, serta infrastruktur yang lengkap dengan kemudahan yang menyokong perkembangan mahasiswa sewaktu tempoh pengajian telah menjadi puncak lawatan kali ini.

Justeru, kepesatan teknologi dan fasiliti di UTP wajar dicontohi oleh semua pihak dalam menyokong kemenjadian pelajar serta memastikan graduan yang dihasilkan memenuhi citarasa dan kehendak industri masa kini.

Melalui lawatan ini, kedua-dua institusi berharap agar hubungan dua hala yang tercipta pada hari ini dapat dikukuhkan lagi dengan perkongsian masa depan di antara Career Development Office (CDO) dan UTP Technopreneurship Centre dengan EDGE, UPSI agar lebih banyak kolaborasi dalam dilaksanakan bersama dalam usaha menggembling tenaga untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara kita.