Oleh: Nur Amirah Hana Azizi & Dr. Siti Shuhaida Shukor
TANJUNG MALIM – Lawatan Panel Juri Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi (AKKPT) ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung pada 16 Februari lalu. AKKPT merupakan anugerah berprestij yang diadakan setiap dua tahun dalam usaha mengiktiraf inisiatif Institusi Pendidikan Tinggi dalam Pembangunan dan Pendidikan keusahawanan.
Sesi Penilaian AKKPT telah dilakukan oleh panel penilai yang berpengalaman seperti Pengasas Lewre Bespoke, Dato’ Lew Fong Voon, Datuk Yusof Aslam (ACP), Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM STS Sdn. Bhd., Nik Sazali Nik Hussin, Ketua Unit Finance dan Transformation (PUNB), Roslawati Mat Lazim serta delegasi daripada KPT. Turut menyantuni delegasi panel penilai adalah Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, beserta barisan ahli jawatankuasa pengurusan universiti, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Profesor Dr. Norkhalid Salimin, Timbalan Naik Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Abdul Rahim, Razalli, Bendahari UPSI Mohamad Najib Mohamed serta Pengarah Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), Dr. Sharul Effendy Janudin.
Sebelum sesi penilaian terakhir dilaksanakan, satu sesi pembentangan bagi Kategori Institusi (Universiti Terbaik) AKKPT telah diadakan di Hotel Eastin, Kuala Lumpur pada 31 Januari yang lalu bersama sepuluh IPT yang telah disenarai pendek dan UPSI telah berjaya terpilih sebagai finalis lima (5) IPT di bawah Kategori Institusi (Universiti Terbaik) AKKPT.
Sesi penjurian dilaksanakan melalui lawatan tapak yang melestarikan aktiviti keusahawan di sekitar ekosistem UPSI yang dimulai dengan melawat Bangunan Canselori yang sarat dengan sejarah dan pencapaian cemerlang warga Ibu Kandung Suluh Budiman.
Lawatan diteruskan dengan melawat setiap fasiliti yang terdapat di Bangunan Bitarasiswa seperti KShoppe, Merchandise, Butik Benang, Barberbus, Spa dan pameran oleh pelajar yang berniaga di ruang UPSIpreneur Lounge. Dengan penglibatan pelajar dan kakitangan UPSI yang lain telah memeriahkan suasana sekaligus menaikkan semangat mereka untuk menggiatkan usaha dalam bidang keusahawanan. Antara fakulti yang turut terlibat semasa lawatan ini ialah Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif, Fakulti, Pembangunan Manusia, Fakulti Teknikal dan Vokasional, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) dan Pusat Kokurikulum.
Diharapkan pengalaman yang dirasai oleh panel juri sewaktu sesi lawatan ini dapat membuka mata semua pihak khususnya industri diluar sana tentang ekosistem keusahawan yang dinamik dalam kalangan warga UPSI serta menjadi saksi kepada usaha komited warga UPSI dalam melahirkan graduan yang berminda keusahawanan. Usahawan inovatif merupakan pemacu legasi kebitaraan KPT, bukan sahaja di peringkat universiti, malahan di peringkat antarabangsa.