Prof Datuk Dr Md Amin (lima dari kiri) menerima lukisan dalam sesi simbolik penyerahan lukisan sempena program Pameran ‘Sustainability International Art Exhibition’ anjuran Institut Peradaban Melayu (IPM), UPSI di Galeri Seni, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Tanjung Malim: Pameran ‘Sustainability International Art Exhibition’ anjuran Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Idris (UPSI) bersama Asian International Art Stream (AiAS) bukan sahaja menunjukkan komitmen universiti dalam bidang seni, tetapi juga membuka pintu kepada persepsi baru terhadap kreativiti dan kelestarian.

Dengan menampilkan karya-karya unggul dari pelbagai negara termasuk Brunei, Jepun, Indonesia, India, Malaysia, Mauritius, Filipina, Singapura, dan Vietnam, pameran ini bukan sahaja menjadi medan untuk memperluaskan wawasan seni masyarakat setempat, tetapi juga memperlihatkan kepelbagaian budaya dan kreativiti yang ada di sekitar serantau ASEAN.

Naib Canselor UPSI, Md Amin Md Taff berkata UPSI meneruskan perananannya sebagai pusat pembelajaran seni yang berprestij dengan memberikan platform kepada pelukis terkemuka dari pelbagai negara.

Dengan adanya kerjasama strategik dengan AiAS, katanya, UPSI turut memperkukuhkan kedudukannya sebagai institusi pendidikan yang mementingkan perkembangan seni dan budaya di peringkat global.
Speaker Dewan Negeri Perak Zahir Khalid yang hadir merasmikan program menganggap program itu memberi pengiktirafan terhadap peranan penting seni dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keindahan alam dan kepelbagaian budaya.

Katanya, ia mencerminkan betapa pentingnya pendidikan seni halus dalam membentuk identiti dan pemikiran kreatif masyarakat secara keseluruhan.

“Dengan menggalakkan penanaman cinta terhadap seni dan penghargaan terhadap ekspresi kreatif, pameran ini tidak hanya memberi impak positif kepada visibiliti UPSI sebagai institusi pendidikan yang berprestij, tetapi juga mengukuhkan filosofi kreatif dalam kalangan masyarakat yang semakin menghargai keunikan dan keindahan dalam seni,” katanya.

ADUN Behrang, Salina Samsudin turut memperlihatkan bakat melukisnya di Laman Rindu, Ulu Slim.
Artis melakukan aktiviti melukis keindahan alam di Laman Rindu, kawasan air terjun Ulu Slim.

Sementara itu, Pengarah Institut Peradaban Melayu (IPM), Prof Dr Tajul Shuhaizam Said berkata pameran berkumpulan dengan tema ‘Sustain & Ability’ selama sebulan di UPSI ini turut melibatkan program melukis di Ulu Slim.

“Program ini memberikan pengalaman visual baharu kepada pelukis tentang keindahan flora dan fauna di Dun Behrang, yang kaya dengan diversiti yang akan diabadikan dalam karya setiap pelukis, ” katanya.
Sempena program, 10 pelukis jemputan yang hadir menghadiahkan 50 lukisan dengan penjanaan dalam bentuk aset karya bernilai RM250,000 untuk UPSI.

Beliau berkata pameran ini juga bertepatan selari dengan Tahun Melwat Perak 2024 yang mempromosikan perak di mata dunia.

Hadir sama pada majlis itu Orang Besar Jajahan Muallim, Toh Paduka Setia, Datuk Ir. Dr. Safry Kamal Ahmad dan ADUN Behrang, Salina Samsudin.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)