Peserta bergambar beramai-ramai sebelum memulakan acara melukis di air terjun Laman Rindu.
Oleh: Maziah Zee Abdullah
21 Februari, Tanjong Malim: Seramai 60 orang pelukis dari dalam dan luar negera merakamkan kawasan rekreasi air terjun Sungai Bil dalam bentuk lukisan dalam pelbagai aliran seni catan.
Mereka amat teruja melihat keindahan alam semula jadi yang masih dipelihara. Menurut pelukis dari Singapura, Abu Jalal Sarimon, “Kawasan air terjun berkenaan amat cantik dengan adanya air yang jenis dan batu-batu dan kawasan yang sangat bersih, suasana itu akan dirakamkan oleh para pelukis di atas kanvas mengikut aliran setiap pelukis,” katanya lagi.
Program berkenaan turut disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Behrang, Salina Samsudin yang turut menunjukkan kebolehannya melukis.
Menurut Salina, “Di dalam kawasan Muallim terdapat lebih daripada 50 kawasan air terjun dan 15 perkampungan orang asli yang boleh dilawati pada bila-bila masa. Tahun 2024 juga adalah Tahun Melawat Perak. Kehadiran peserta dalam on-the-spot painting ini dapat mempromosikan lagi kawasan rekreasi sekitar Muallim di mata dunia”, tambahnya lagi dalam ucapannya semasa majlis pelepasan yang diadakan di Laman Rindu Campsite Sungai Bil.
Peserta program on-the-spot painting ini diberikan masa selama tiga jam untuk menyiapkan lukisan yang disertai oleh pelukis dari Brunei, Singapura, Jepun, Filipina, Mauritius, Indonesia, India, Vietnam dan Malaysia. Pelajar-pelajar UPSI dan pelukis dari Persatuan Pelukis Perak tidak melepaskan peluang untuk turut serta bagi memeriahkan lagi program.
Menurut Pengarah, Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof. Dr. Tajul Shuhaizam Said, 50 lukisan diserahkan kepada IPM untuk dijadikan koleksi untuk dijadikan kajian dan juga bahan pengajaran dan pembelajaran oleh para penyelidik dan juga pelajar-pelajar UPSI.
Karya yang dihasilkan diserahkan kepada UPSI sebagai koleksi untuk digunakan dalam kajian dan pengajaran dan pembelajaran pada masa akan datang.
Dianggarkan juga nilai keseluruhan karya berkenaan berjumlah RM 250,000.00 mengikut harga pasaran lukisan setiap pelukis yang terlibat, katanya ketika ditemui di Laman Rindu.
Lukisan yang dihasilkan oleh pelukis-pelukis ternama itu menjadi koleksi terbesar yang dimiliki oleh UPSI, antaranya hasil lukisan oleh Pengirang Abdul Wahab dari Brunei, Syis Pindow dari Indonesia, Sanae Yamada dari Jepun, Abu Jalal Sarimon dari Singapura, Raja Shahriman Raja Aziddin dari Malaysia, dan Dinh Mai Thu Trang dari Vietnam.
Para pengunjung boleh melihat hasil karya para pelukis ini di Galeri Seni UPSI yang dibuka dari 12 Februari hingga 5 Mac 2024.