Oleh: Dr. Abu Zarrin Selamat
Tanjong Malim: Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) amat berbesar hati menerima lima orang keluarga baharu FSK yang melapor diri pada 2 Januari yang lalu.
Tiga orang ahli akademik yang melapor diri ialah Dr. Rusni Mohamad (Hadis), Dr. Wan Maslukma Wan Zaharudin (Syariah) dan Dr. Ahmad Farhan Abdullah@Zakaria (Sejarah). Selain ahli akademik, FSK juga menerima dua orang ahli bukan akademik yang berpindah pusat tanggung jawab iaitu Abdul Aziz Ibrahim yang akan bertugas di Unit Pentadbiran dan Erlyyana Harizon (tiada dalam gambar) yang akan ditempatkan di Jabatan Pengajian Islam.
Satu sesi ramah mesra dan taklimat khas yang diadakah di Bilik Mesyuarat Ibnu Khaldun, aras 3, Kompleks Malim Sarjana telah dipengerusikan oleh Dekan FSK, Prof Madya Ts Dr Nor Kalsum Mohd Isa. Turut hadir dalam majlis terserbut ialah Timbalan-timbalan Dekan, Penolong Pendaftar dan Ketua-ketua Jabatan yang terlibat.
Antara intipati dalam sesi ramah mesra yang ditekankan oleh Dekan FSK ialah perihal tugas hakiki sebagai pensyarah mencakupi pengajaran, penerbitan, penyelidikan, perundingan, penyeliaan, pentadbiran dan sebagainya. Turut dinyatakan dalam majlis tersebut ialah keadaan infrastruktur dan kemudahan yang ada dan disediakan di Kompleks Malim Sarjana agak terhad berbanding fakulti-fakulti yang lain. Dekan FSK juga memberi peluang kepada semua ahli baharu memperkenalkan diri serta menyatakan misi hasrat masing-masing dalam usaha membantu fakulti cemerlang dalam menggapai KPI yang digagaskan oleh FSK.
Akhir sekali, dekan dan semua pengurusan FSK meletakkan harapan yang tinggi kepada semua ahli keluarga FSK yang baharu melapor diri agar dapat memberikan komitmen dan kerjasama yang terbaik dalam memacu dan membawa nama baik FSK seiring dengan agenda kebitaraan seperti yang disasarkan oleh pihak pengurusan fakulti dan UPSI.