Oleh : Muhammad Imran Ahmad (SUA PPI) & Dr. Nur Ainul Basyirah Alias

Tanjong Malim: Persatuan Pendidikan Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sidang 2023/2024 telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Organisasi: Penyelarasan Kertas Kerja dan Kewangan di Blok 3, Aras Bawah, Bilik Kuliah 1, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI. Bengkel ini disertai oleh semua pimpinan Persatuan Pendidikan Islam serta turut melibatkan 27 orang wakil setiap lajnah dalam persatuan

Bengkel ini merupakan salah satu inisiatif untuk memberi pendedahan kepada semua pimpinan mengenai tatacara pengurusan kertas kerja, laporan, minit mesyuarat dan kewangan. Program ini juga menekankan sifat interaksi dua hala dan berkumpulan bagi memastikan segala perancangan dan program persatuan tidak tergendala.

Bengkel dimulakan dengan pembentangan oleh ketiga-tiga barisan setiausaha Persatuan Pendidikan Islam mengenai kertas kerja, laporan dan surat menyurat bagi memastikan program-program yang bakal dirancang dan dilaksanakan oleh persatuan selari dengan kehendak universiti. Antaranya, menekankan KPI yang telah ditetapkan semasa bengkel bersama Pengurusan Fakulti Sains Kemanusiaan di Pulau Pinang pada September 2023 yang lalu.

Dalam bengkel ini juga turut diberi taklimat mengenai kaedah perolehan kewangan untuk menjalankan program yang disampaikan oleh barisan bendahari persatuan sebelum diteruskan dengan aktiviti ringkas dalam memantapkan lagi kefahaman peserta terhadap pengurusan organisasi. Program berakhir dengan ucapan dan amanat oleh Yang di-Pertua Persatuan Pendidikan Islam sidang 2023/2024 kepada semua pimpinan yang menyeru agar sentiasa saling bekerjasama dalam menjayakan sesuatu program.

Semoga inisiatif kecil ini mampu memberikan impak positif kepada semua pimpinan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan ini pada sidang kali ini dan akan datang.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)