Oleh: Puan Noraini Sapuan (Penolong Pendaftar Unit Integriti)

23 JANUARI 2024, UIAM, GOMBAK: Lawatan penanda aras Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah dilaksanakan pada bagi melihat pelaksanaan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) MS ISO 37001:2016 di UIAM sebagi persediaan awal UPSI ke arah pembangunan dan pelaksanaan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) di universiti.

Delegasi UPSI diwakili oleh Jawatankuasa Anti-Bribery Management System (JKABMS), Jawatankuasa Kerja Pelan Antirasuah (JKOACP) dan Unit Integriti yang diketuai oleh Dr. Saslina Kamaruddin, Pensyarah Fakulti Pengurusan & Ekonomi bersama dengan Yusri Yakub, Pensyarah, Fakulti Sains Sukan & Kejurulatihan merangkap Ketua Juruaudit Dalaman Universiti, Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad, Ketua Pegawai Digital UPSI, Ilmizan Ismail, Ketua Unit Integriti serta beberapa ahli jawatankuasa lain yang akan terlibat dalam pembangunan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) di UPSI.

Lawatan ini disambut baik oleh pihak UIAM terdiri daripada Wan Najihah Nur Ashikin Wan Abdullah, Pengarah, Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Pengurusan Perkhidmatan UIAM, Dr. Siti Zainab Tauhid, Pengarah Pentadbiran, Hospital Sultan Ahmad Shah@SASMEC merangkap Pengerusi, Jawatankuasa Kerja Anti-Bribery Management System (ABMS) UIAM, Ainun Mardziyah Hassan, Pengarah, Pejabat Audit Dalaman serta beberapa pegawai kanan Kuliyyah (Pusat Tanggungjawab) UIAM yang terlibat dengan pembangunan dan pelaksanaan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) UIAM.

Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) MS ISO 37001:2016 adalah sistem kawalan dalaman sesebuah organisasi secara sukarela bagi mengesan, mencegah, mengendalikan, menguatkuasa, menilai serta menambahbaik langkah pengurusan antirasuah secara berkesan. Ia juga merupakan satu instrumen yang fleksibel dan dapat disesuaikan dengan risiko rasuah yang mungkin dihadapi oleh mana-mana organisasi. Standard ini direka adalah bertujuan untuk membantu mana-mana organisasi bagi membuktikan kepada pihak berkepentingan (stakeholders) bahawa mereka mempunyai amalan dan inisiatif antirasuah yang mencukupi dan dilaksanakan sebaiknya.

Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 telah mengariskan satu inisiatif untuk Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) ini diperkenalkan di setiap agensi awam sebagai salah satu usaha dalam mewujudkan negara bebas rasuah. Seiring dengan hasrat murni kerajaan ini, UPSI juga telah mensasarkan pelaksanaan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) ini sebagai salah satu pelan tindakan yang akan dilaksanakan pada tahun 2025.

Sesi taklimat yang disampaikan oleh Dr. Siti Zainab dan Wan Najihah memberikan gambaran yang jelas kepada delegasi UPSI mengenai kerangka perancangan dan pelan tindakan yang telah dilalui oleh JKABMS, UIAM bermula dari tahun 2019 di awal fasa pembangunan dan perancangan dengan kerjasama dari pelbagai Kuliyyah (Pusat Tanggungjawab) sehinggalah ke tahun 2024 dalam membangunkan sistem pengurusaan antirasuah menuju ke arah pensijilan MS ISO 37001: 2016.

Harapan agar dengan lawatan penanda aras yang telah dilaksanakan ini dapat menjadi pemangkin semangat serta memberikan buah fikiran kepada jawatankuasa untuk merangka dan merancang pembangunan sistem pengurusan antirasuah (ABMS) di UPSI kelak. 

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)