Oleh: Mohamad Fadzil Mohamad Fazeli Perkasa

TANJONG MALIM– Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) menerusi Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK) Sidang 2023/2024 telah menganjurkan Program Larian Amal Gaza bertempat di Dataran Fakulti Bahasa dan Komunikasi, KSAJS, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.

Program inisiatif kemanusiaan ini dianjurkan sebagai salah satu cara masyarakat tempatan khususnya warga UPSI menunjukkan sokongan padu mereka terhadap rakyat Palestin yang sedang dibantai oleh Zionis di Gaza. Program ini bukan sahaja bertujuan mengumpul dana bagi membantu meringankan beban rakyat Palestin dalam masa yang sukar ini, tetapi juga meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung isu-isu semasa yang dihadapi oleh rakyat Palestin.

Dari kiri: Dr. Che Ghani, Prof. Madya Dr. Mohd Nizam, Helmi Zaifura, Rozdi Mohamed Norr

Program yang berlangsung pada jam 7.30 pagi ini telah dirasmikan oleh Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan, Pengerusi Majlis Pengetua Kolej-kolej Kediaman UPSI. Turut hadir memeriahkan program ialah Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob, Pengetua UKLK dan Helmi Zaifura Abdul Rahman, Pendaftar UPSI. Program yang dihadiri oleh seramai 200 orang ini terdiri daripada barisan mahasiswa, staf UPSI dan komuniti tempatan sekitar Tanjong Malim.

Selain acara larian, program ini juga menyediakan pelbagai aktiviti lain yang menarik dan menghiburkan. Antaranya ialah pertandingan mewarna, persembahan nasyid, sajak, pertandingan timbang bola menggunakan kain pelikat (lelaki), pertandingan anyaman kertas warna bendera Palestin (perempuan) serta pelbagai lagi aktiviti lain yang memberikan peluang kepada para peserta menunjukkan bakat dan kreativiti mereka. Di samping itu juga terdapat pelbagai gerai jualan makanan yang disediakan kepada para pengunjung program ini. Hasil kutipan jualan dan penyertaan program ini akan disumbangkan terus ke Tabung Amal Palestine.

Penasihat program, Rozdi Mohamed Noor mengucapkan terima kasih kepada semua yang menjayakan program pada kali ini, serta menyatakan harapan agar program seumpama ini akan terus dipergiatkan lagi dalam usaha untuk membantu meringankan beban rakyat Palestin di samping memupuk semangat kemanusiaan di dalam diri manusia sejagat. Ini bertepatan dengan ajaran Islam yang sangat memandang mulia dan menganjurkan seluruh masyarakat memupuk semangat dan nilai kemanusiaan dalam membantu golongan yang terkesan dan memerlukan.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)