Oleh: Huwaina Meseztor dan Daniel Haqeemy

Tanjong Malim – “Hmm, teringin nak sambut New Year dekat KL tapi jauh. Nak pula, assignment bertimbun-timbun.” Terdengar keluhan kecil penghuni KUO yang tidak dapat pulang ke kampung halaman semasa cuti tahun baru.

Program Weekend With KUO: Enjoy The Little Things anjuran Majlis Tertinggi, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar sempena mengisi cuti tahun baru berfokus kepada aktiviti program bersama penghuni. Program yang telah berlangsung selama dua hari ini merangkumi beberapa pengisian mesra bersama penghuni kolej iaitu My Beautiful KUO 2.0: Clean and Fit, Movie Night Show, Malam Galau dan Countdown to 2024.

My Beautiful KUO 2.0: Clean and Fit diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak pengurusan dan penghuni Kolej Ungku Omar. Antara aktiviti yang dijalankan ialah membersihkan dan menceriakan rumah serta kawasan kolej diiringi dengan aktiviti sampingan iaitu sukan futsal dan badminton. Bagi meningkatkan lagi kualiti semangat berpasukan dalam aktiviti pembersihan dan keceriaan rumah, felo-felo kediaman turun padang menyertai program ini untuk menjadi juri yang membuat penilaian kebersihan dan kekemasan di setiap rumah penghuni. Felo-felo juga turut gembira kerana dapat melihat telatah dan karenah penghuni KUO yang banyak ragamnya dari sudut hobi mereka.

“Variasi aktiviti dalam My Beautiful KUO 2.0: Clean and Fit amatlah memberi manfaat kepada seluruh warga KUO kerana ia secara tidak langsung dapat menjalinkan kerjasama yang baik terhadap semua pihak yang terlibat.  Kita juga dapat lihat karenah beberapa penghuni yang memiliki hobi menarik seperti mengumpul Lego serta Hotwheels. Nak pula mereka ini perempuan! Sangat mengujakan,” kata Dr Nuszep Almigo, felo di Kolej Ungku Omar.

Movie Night Show, Malam Galau dan Countdown to 2024 dijalankan serentak pada waktu malam ambang tahun baru bersempena program ini. Program yang diadakan pada julung kalinya ini menghimpunkan beberapa gerai jualan yang terdiri daripada penghuni KUO khususnya dalam meningkatkan kemahiran keusahawanan serta menimba pengalaman baru. Bukan itu sahaja, para penghuni dapat berkumpul dan meluangkan masa bersama di Dewan Kolej Ungku Omar dengan menonton tayangan filem serta bakat-bakat nyanyian dapat dicungkil  dari kalangan penghuni pada sesi Malam Galau.

Dr Saufi Rosmi, felo Kolej Ungku Omar berkata “Saya dapat merasakan kemeriahan dengan kehadiran para penghuni yang dikasihi di hadapan saya ini. Saya sangat suka melihat para penghuni bersatu hati berkumpul dan menyambut tahun baru bersama-sama.”

“Aktiviti jualan oleh penggerai yang dikendalikan penghuni KUO sendiri memberi impak yang besar dalam penglibatan penghuni KUO untuk turut hadir bagi memeriahkan suasana program ini. Jadi, ia merupakan suatu perkara yang menarik dalam mempelbagaikan konsep dalam sesebuah program untuk mencari kelainan. Itu yang orang mahu sebenarnya,” katanya lagi.

Weekend With KUO: Enjoy The Little Things sedikit sebanyak memberi peluang kepada penghuni KUO dapat mengisi masa lapang mereka sebelum menjelang tahun baru. Bahkan, keseronokan dan kegembiraan dapat di kongsi bersama diantara pihak pengurusan kolej dan penghuni melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang program berlangsung pada minggu yang sibuk bagi mahasiswa dengan tugasan-tugasan yang perlu dihantar.

Dengan adanya, program sebegini dapat memberi suntikan semangat kepada mahasiswa khususnya penghuni Kolej Ungku Omar sentiasa cergas mindanya pada tahun baru 2024.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)