Oleh: Rabiatul Ayiesah, Nur Syamimi Athilah
Tanjung Malim- Pertandingan Pidato Belia Kebangsaan Bahasa Melayu yang julung-julung kali dianjurkan oleh Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Kelab Debat Bahasa Melayu (KDBM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi antara usaha dan agenda murni bagi memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan belia.
Pertandingan ini berlangsung selama tiga hari bermula 5 Januari sehingga 7 Januari bertempat di Bilik Seminar Aminuddin Baki, Fakulti Pembangunan Manusia dan di Dewan Banquet Dewan Tuanku Canselor. Pertandingan tersebut telah disertai oleh beberapa buah IPTA dan IPTS seperti Universiti Teknologi Mara, Universiti Sultan Azlan Shah, Universiti Selangor serta pertandingan ini mendapat sambutan baik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan menghantar wakil dari Kolej Matrikulasi
Johor, Kolej Matrikulasi Melaka dan Kolej Professional Mara Seri Iskandar.
Di samping itu, pertandingan ini bertujuan mencari bakat dan kebolehan berpidato dalam diri seorang belia sejajar dengan pelaksanaan Malaysia Madani yang mengetengahkan elemen kemampanan dalam masyarakat kini.
Pemidato Nur Ainun Najihah Rosli, 24 mewakili UPSI telah dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Pidato Belia Kebangsaan Bahasa Melayu. Pelajar tahun empat itu berjaya menewaskan dua pencabarnya yang lain di peringkat akhir sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500 bersama sebuah plak.
Naib Johan pula disandang oleh peserta dari Universiti Islam Antarabangsa Pagoh, Ummi Khalilah Azman, 23, dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Muhammad Faizal Isahak dari Universiti Sultan Azlan Shah, 22, yang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300 dan RM200 berserta plak dan sijil penyertaan.
Nur Ainun Najihah telah berjaya mempamerkan persembahan yang sangat menakjubkan sepanjang pertandingan dengan ucapannya yang bertajuk ”Belia Cemerlang Negara Gemilang” di mana ekspresinya yang lemah lembut serta keyakinan yang utuh telah menambat hati juri dan penonton. Dalam ucapannya selama tujuh minit, anak muda itu menggesa supaya belia sentiasa mempersiapkan diri untuk menjadi pemimpin yang berkualiti di generasi akan datang. Jelas pemidato tersebut, ”nilai kepimpinan bukan terletak kepada siapa yang berpengaruh tetapi terletak kepada siapa yang cekap memimpin negara supaya ketamadunan sesebuah negara dapat berkembang walau arah melintang.”
Sementara itu, Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Pidato Belia Kebangsaan Bahasa Melayu telah disempurnakan oleh Pengetua Kolej Aminuddin Baki, Prof. Madya Dr. Syed Ismail Syed Mohamad. ”Pertandingan pidato belia ini menjadi salah satu elemen yang memainkan peranan yang sangat penting dalam melahirkan personaliti tinggi individu melalui kemahiran komunikasi,” katanya ketika berucap pada Pertandingan Pidato Belia Kebangsaan Bahasa Melayu, di Bilik Seminar Aminuddin Baki, Fakulti Pembangunan Manusia.
Menurutnya lagi, belia masa kini haruslah befikir sebagai seorang pemipin yang mampu mengeluarkan hujah-hujah yang bernas. Beliau juga menggesa supaya belia sentiasa bersikap proaktif dan cakna dengan isu semasa agar ketamadunan sesebuah negara dapat berkembang maju.
Diharapkan pertandingan ini mampu memberi impak yang positif dalam merealisasikan harapan dalam kemenjadian belia yang mencerminkan kepimpinan bersemangat tinggi dan proaktif dalam pelbagai aspek bagi mempersiapkan diri dalam memacu arus pemodenan negara.