Kuala Nerang: Alumni Suluh Budiman batch 2012/13, Cikgu Haris Fadzilah Hashim dan isteri, Zolaila Mohamed Jori menitiskan air mata apabila menyaksikan kedua-dua anaknya berjaya menerima skrol pengijazahan di Istiadat Konvokesyen ke-25 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.

Menurutnya, UPSI sememangnya mempunyai ‘aura’ dan kepakaran tersendiri dalam melahirkan mahasiswa yang berjiwa pendidik “Saya melihat perubahan UPSI yang sangat ketara dari pembangunan infrastruktur, sistem pendidikan yang dijalankan serta jalinan antarabangsa dengan pelbagai sektor industri yang telah menampak nama di kancah global,” katanya.

Tambahan pula, prestasi kejayaan UPSI di kancah global membawa lagi kebaikan kepada mahasiswanya yang rata-rata diberikan peluang untuk meraih pengalaman dari program mobiliti antarabangsa yang dijalankan.

Pasangan suami isteri yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sekolah Rendah) dengan kepujian berbangga dan senang anak mereka meneruskan jejak untuk menceburi bidang pendidikan.

Kejayaan anaknya dalam menggenggam ijazah dan diploma di UPSI memberi satu kebanggaan lain yang sukar untuk dizahirkan dengan kata-kata. Kemenjadian mahasiswa yang holistik membentuk keperibadian pendidik yang mampu memberikan warna dalam dunia pendidikan dan membawa manfaat kepada masyarakat.

Mohamad Adam (26) yang menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas) berkongsi bahawa 4 tahun pengajiannya memberi makna besar yang membawanya mencintai dunia guru yang luas dan penuh dengan pengorbanan.

“Saya sangat bangga dan beruntung menjadi warga UPSI. Saya akan sentiasa membawa nama baik UPSI dimana sahaja saya ditempatkan dan pasti pengalaman selama empat tahun ini akan saya manfaatkan kepada anak murid saya dan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau yang juga terlibat dengan Program Mobiliti Latihan Mengajar Antarabangsa di Yogyakarta, Indonesia dan peraih pingat perak dalam Inovasi Digital di International Conference On Teacher Education 2022.

Adiknya pula, Nur Maisarah (21) yang meraih diploma pendidikan awal kanak-kanak juga terlibat aktif dalam penganjuran program antarabangsa dan salah satunya adalah Pesta Malam Budaya Asia yang berlangsung di Panggung Percubaan UPSI.

Kejayaan mereka sekeluarga membuktikan bahawa UPSI sememangnya melahirkan mahasiswa yang holistik dan berjiwa pendidik serta unggul dalam pelbagai bidang yang diceburi. Kisah keluarga Cikgu Haris Fadzilah juga menjadi potret penting dimana UPSI sentiasa menjadi pilihan utama pemilihan pelajar untuk meneruskan pengajian di peringkat tertinggi.

Naib Canselor UPSI, Prof Dato Dr Md Amin Md Taff juga menyatakan bahawa UPSI akan sentiasa komited dalam meneraju perkhidmatan dan pendidikan terbaik untuk memastikan kemenjadian insan yang holistik selari dengan UPSI sebagai universiti peneraju kebitaraan pendidikan terbaik di dalam dan luar negara.