Oleh: Nur Shahidatul Nasuha Md Alamgir Hossain Hazrat Ali

Tanjong Malim – Selari dengan hasrat pengupayaan mahasiswa, Kerajaan Negeri Perak melalui Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak telah menganjurkan Program Karnival Siswa Perak Sejahtera 2030 pada 4 Januari hingga 6 Januari. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dipilih sebagai tuan rumah untuk karnival yang julung kalinya dilaksanakan ini melibatkan seramai 805 orang mahasiswa anak Perak dari 43 IPT seluruh negara.

Pelaksanaan karnival ini berjaya membina hubungan yang kukuh dan erat dalam kalangan mahasiswa dari pelbagai universiti dengan Kerajaan Negeri Perak melalui pelbagai pengisian aktiviti dan modul yang amat menitikberatkan pergaulan yang positif antara mahasiswa. Modul Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang bersifat kenegaraan telah menyuntik nilai patriotisme dalam diri setiap mahasiswa yang bakal memimpin negara kelak. Aktiviti futsal, bola jaring dan ‘explorace’ yang dijalankan di Stadium Arena, UPSI dilaksanakan bagi membantu ke arah pemantapan mahasiswa yang proaktif serta berbakat dalam pelbagai aspek. Slot bagi ‘Talent show’ Malam Kebudayaan pula menampilkan persembahan-persembahan kesenian dari para peserta mengikut kumpulan bagi menampilkan kreativiti dan bakat dalam diri mahasiswa anak Perak.

Menteri Besar Perak, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani Mohamad dalam Majlis Perasmian Penutup Karnival Siswa Perak Sejahtera 2030 menzahirkan rasa bangga dan teruja melihat ratusan mahasiswa anak Perak dikumpulkan dan diberi pendedahan berkaitan aspirasi dan hala tuju Kerajaan Negeri Perak melalui modul-modul LDK yang diketengahkan sepanjang program. Tambah beliau lagi, mahasiswa anak Perak perlu menjadi tonggak penting dalam membangunkan negeri ini selari dengan hasrat Pelan Pembangunan Negeri Perak Sejahtera 2030.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Encik Khairudin Abu Hanipah, Yang Berhormat ADUN Behrang, Puan Salina Samsudin serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin.

Semasa dihubungi, pengarah program Karnival Siswa Perak Sejahtera 2030, saudara Mohamad Fadil Mohamad Ramli merangkap Yang Dipertua Sekretariat Himpunan Anak Darul Ridzuan (HADARI) UPSI berharap agar program ini disambut baik pelaksanaannya oleh segenap lapisan mahasiwa anak Perak di Institut Pengajian Tinggi seluruh negara

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)