Artikel oleh: Afiqah Danian

Hari Rapat Umum merupakan hari yang amat penting bagi semua calon Majlis Perwakilan Pelajar sidang 2023/2024 kerana setiap calon akan menyampaikan manifesto mereka kepada mahasiswa/i UPSI. Hari Rapat Umum ini dijalankan selama lima hari bermula 5 Januari 2024 sehingga 10 Januari 2024 di Kolej Ungku Omar, Kolej Harun Aminurrashid, Kolej Za’ba dan Bitarasiswa Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Semua calon dari kerusi umum, fakulti dan etnik telah menyampaikan manifesto mereka dikawal dengan baik oleh ahli Campus Election Organization.

Sepanjang rapat umum ini dijalankan, calon-calon telah memberikan tekad yang tinggi untuk membawa perubahan positif dalam kalangan mahasiswa/i UPSI. Mereka telah menyampaikan manifesto dengan yakin dan mengetengahkan suara dan hak pelajar UPSI seperti peningkatan fasiliti, program kecemerlangan untuk mahasiswa dan kebajikan dalam kalangan setiap pelajar. Setiap rapat umum juga telah disemarakkan dan disambut baik oleh wakil calon, penyokong calon dan rakan-rakan calon dari pelbagai bidang yang berbeza dan akhirnya mencetuskan suasana yang penuh semangat dan antusiasme.

Antara sorotan utama sepanjang rapat umum ini adalah bahang semangat kerjasama yang terasa di kalangan wakil pelajar. Jelas disini setiap calon terlibat dalam pertukaran idea, perbincangan yang mantap dan harapan untuk masa depan yang lebih baik kepada UPSI.  Seterusnya, setiap calon juga tidak kekok mengingatkan semua mahasiswa/i tentang tanggungjawab bersama untuk menjaga keharmonian dan mengharumkan nama UPSI ke peringkat yang lebih tinggi.

Rapat umum ini diakhiri dengan penuh meriah dan setiap mahasiswa/i perlu menjalankan tanggungjawab untuk turun mengundi dalam pilihan raya yang akan berlangsung tidak lama lagi iaitu pada 15 Januari 2024. Semua pihak berharap agar kita mencapai peratusan yang tinggi sewaktu hari mengundi nanti. Biarlah pilihan raya kali ini berimpak dan akan membawa kepada pembaharuan positif untuk meningkatkan kualiti kehidupan mahasiswa/i di universiti bertuah ini.

Sesungguhnya, Rapat Umum ini merupakan perkara yang mendatangkan impak positif kepada setiap insan di UPSI, ia bukan sahaja meningkatkan motivasi calon dalam berkempen malah merapatkan ukhwah antara setiap mahasiswa/i UPSI. Setiap mahasiswa/i UPSI juga akan lebih cakna dalam prosedur demokrasi dalam memilih pemimpin mereka sendiri. Tanpa sedar, UPSI bergerak seiring dengan matlamat utama Madani dalam kalangan pelajar di Malaysia.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)