Oleh Mohammad Fateeh Zaki

Triang, Pahang – Memperkasakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) di luar bandar bagi menarik minat kepada dunia pembelajaran. Pendidikan STEM juga adalah pendekatan interdisiplin terhadap pembelajaran di mana penggabungan mata pelajaran membantu pelajar untuk mengakses pengetahuan. Pendidikan STEM ini dilihat bakal melahirkan generasi muda yang memiliki intelektual tinggi dalam mengaplikasikan bidang sains mahupun matematik.

Program Academic Adventure yang berjalan selama dua hari satu malam ini direalisasikan dan diatur dengan teliti oleh Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid sesi 2023/2024. Usaha cemerlang ini dihidupkan melalui kerjasama yang mendalam dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (Felda) Chemomoi, serta Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU), Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) UPSI, Persatuan Belia Harmoni UPSI, Persatuan Young Conservationist Club (YCC) UMT.

Program yang bertempat di SMK (Felda) CHEMOMOI ini melibatkan seramai 108 peserta merangkumi pelajar dari pelbagai aras tingkatan, iaitu 1, 2, 3, dan 4. Objektif utama program ini adalah untuk menyerlahkan dan memudahkan pertukaran pandangan yang berkaitan dengan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM), dengan tumpuan khusus kepada mata pelajaran sains dan matematik.

Program ini ingin menarik minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). Melalui aktiviti yang disusun dalam program Academic Adventure ini, ia tidak dapat dinafikan memberi ruang dan prospek yang luas kepada pelajar untuk menyelami keunikan dan faedah yang wujud dalam bidang sains STEM.

Dalam program ini terdapat konsep pemindahan pengetahuan yang merangkumi pelbagai slot. Slot awal yang diuruskan sepenuhnya oleh ahli jawatankuasa unit aktiviti berfungsi sebagai sesi motivasi dan ice breaking. Slot berikutnya disediakan oleh Persatuan Mahasiswa Sains (PMS), aktiviti Science Enhances Life Skills. Slot ketiga yang dikendalikan oleh Persatuan Belia Harmoni UPSI, mengetengahkan aktiviti berpaksikan nilai sivik seperti kemampanan, kesejahteraan, kreativiti, rasa hormat, keyakinan dan budi bahasa. Slot keempat Math Mate Hub, tertumpu secara eksklusif kepada aplikasi matematik dalam kehidupan seharian, menampilkan aktiviti menarik yang difasilitasi oleh Persatuan Pelajar Matematik UPSI (PMMU).

Pameran dan persembahan berkaitan sains telah berlangsung di slot kelima yang dikendalikan oleh Persatuan Young Conservationist Club (YCC) dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Akhir sekali, slot keenam telah berfungsi sebagai platform untuk menghargai pengetahuan, meringkaskan dan mengimbas semula aktiviti berkaitan STEM dengan penekanan khusus pada sains dan matematik yang telah berlangsung sepanjang program.

Alif Elfarez Almond, pengarah program menyatakan bahawa program pemerkasaan STEM di luar bandar ini adalah untuk memastikan pelajar luar bandar tidak terpinggir dengan bidang STEM.

Sepanjang program ini dijalankan, pelbagai slot menarik yang diberi penekanan khusus pada sains dan matematik. Aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan juga telah berjaya menarik minat pelajar untuk menyelami keunikan dan faedah yang ada dalam bidang STEM.

Pengetua SMK (Felda) Chemomoi, Hajah Helmiah Abdul Kudus menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas segala yang telah pihak UPSI lakukan dalam program Academic Adventure ini.

“Pertama-tamanya saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak AJK Pelaksana dan juga semua pihak kolaborasi yang telah berjaya melaksanakan program yang penuh ilmu pengetahuan.”

Beliau juga berkata, “dengan melihat riak wajah para pelajar saya, saya dapat membuat kesimpulan bahawa betapa hebatnya pihak-pihak terlibat yang telah menjayakan program Academic Adventure ini. Sekali lagi saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak UPSI dan juga UMT.” Beliau juga menyatakan hasrat supaya para pelajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris dapat terus membantu SMK (Felda) Chemomoi sebagai guru yang membimbing para anak didiknya.

Dr Muhammad Ridhwan Sarifin selaku perasmi program dan juga felo penasihat mengungkapkan bahawa program ini dapat menarik minat pelajar terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) khususnya subjek sains dan matematik.

“Program ini juga mendedahkan ilmu STEM agar murid-murid dapat menyesuaikan dan mengaplikasikan ilmu STEM dalam kehidupan harian.” katanya.

Beliau juga berkata, “program ini juga dapat meluaskan jaringan mahasiswa UPSI bersama institusi pendidikan luar bandar melalui perkongsian ilmu di samping menarik minat murid untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian yang lebih tinggi”.

Harapan beliau agar setiap slot program Academic Adventure yang telah dijayakan dapat menjadi titik permulaan untuk perubahan positif dalam kecemerlangan dan kejayaan yang lebih besar.

Dr. Che Anuar Che Abdullah, Pengetua KHAR menyatakan bahawa program Academic Adventure ini merupakan sebuah program yang boleh dijadikan suatu titik permulaan yang baik para pelajar bagi mendalami dan menceburi lebih luas dalam bidang STEM.

Beliau juga berkata, “Program ini dapat menjadi medium untuk membantu menyemai semangat ingin tahu murid mengenai Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan murid sekolah luar bandar. Selain itu, dapat mengukuhkan pengetahuan murid-murid sekolah luar bandar mengenai ilmu sains dan matematik berteraskan 6 nilai madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.”

Beliau berharap agar program Academic Adventure ini dapat memberi nilai tambah dan dampak positif kepada para pelajar sekolah mahupun mahasiswa dan mahasiswi yang mengikuti dan menjayakan program-program yang seperti ini.  

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)