Oleh: Nur Afrina Mohamad Hizam

Tanjung Malim:  Badan yang sihat melahirkan otak yang cerdas. Bagi mewujudkan suasana yang aktif dalam kalangan mahasiswa, Exco Perpaduan dan Integrasi Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid Sidang 2023/2024 telah menganjurkan Program Colours of Unity Run ‘Colours Unite, Hearts Ignite!‘.

Program yang berlangsung pada 14 Januari dihadiri lebih 500 penyertaan dalam kalangan mahasiswa, staf universiti serta masyarakat dari serata Malaysia.

Menurut Pengarah Program merangkap Exco Perpaduan dan Integrasi Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid Sidang 2023/2024, Sudhani Teh Zhi Hui  program ini bertujuan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan mahasiswa dan komuniti setempat dalam aktiviti sukan dan larian di samping membina kesedaran tentang kepentingan aktiviti fizikal terhadap tubuh badan dan kesihatan diri serta juga untuk membangun dan meningkatkan pengetahuan dan amalan sukan bagi keperluan sosial seseorang individu.

Program yang bertemakan larian perpaduan warna-warni ini dijalankan dengan objektif untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan mahasiswa dan komuniti berbilang kaum yang bertepatan dengan inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi melalui Program Semarak Siswa Madani yang memfokuskan perhubungan yang akrab antara mahasiswa dan komuniti,” katanya.

Pengetua KHAR, Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah berharap agar program-program seperti ini akan terus diadakan demi menghidupkan suasana mahasiswa kolej dan universiti yang aktif, berakhlak, berkepimpinan dan cemerlang dalam segala aspek bidang.

Pengerusi Majlis Pengetua UPSI, Profesor Madya Dr. Mohd Nizam  Nasrifan, menyatakan bahawa program ini berjaya memupuk semangat perpaduan dan kesedaran mahasiswa dan komuniti setempat akan pentingnya amalan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian.

“Saya berpendapat program ini dapat membina kesedaran mahasiswa dan masyarakat akan pentingnya aktiviti fizikal ke atas tubuh badan yang menepati Pelan Pembangunan Mampan iaitu mencapai kesihatan dan kesejahteraan sejagat.

Katanya, secara tidak langsung ia dapat melahirkan belia dan masyarakat yang bersatu-padu melalui aktiviti sukan dan larian di samping menjalani gaya hidup sihat dan aktif untuk kesihatan tubuh badan dan kecerdasan minda seterusnya mempromosikan UPSI sebagai peneraju dalam menganjurkan program-program sukan berimpak tinggi dan melahirkan belia yang holistik serta mampu memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Penasihat program, Nurul Najwa Mohamad melahirkan rasa  bangga kerana program ini mendapat sambutan yang sangat meriah dan luar biasa daripada mahasiswa UPSI, staf UPSI mahupun warga muallim.

“Puas hati saya dapat melihat perjalanan program yang penuh dengan warna-warni dan kemeriahan dari pelbagai sudut dan berharap agar program seperti ini dapat dianjurkan lagi bagi memupuk semangat perpaduan dan kekeluargaan dalam kalangan mahasiswa dan komuniti setempat serta menyemai semangat Semarak Siswa Madani dalam diri mahasiswa agar mampu menjadi seorang pemimpin dalam penganjuran program seperti ini yang bertepatan dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkan pemimpin dalam kalangan rakyat di Malaysia,” katanya.

Pemenang cabutan bertuah utama membawa pulang hadiah penginapan 2 Hari 1 Malam di Hotel Scholar’s Suite, UPSI dan cabutan bertuah yang lain membawa pulang hadiah dan cenderamata tajaan UPSI Holdings Sdn. Bhd.

Sesuai harapan Naib Canselor UPSI, KHAR akan sentiasa meneraju program berimpak tinggi dan membantu universiti dalam melahirkan mahasiswa yang berkualiti serta memberi manfaat kepada komuniti.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)