Tanjong Malim- Malaysia merupakan salah sebuah negara yang terkenal dengan keunikannya tersendiri misalnya tradisi warisan dek kerana rakyat yang berbilang kaum. Namun begitu, warisan yang menjadi simbolik kepada Malaysia ini semakin dilupakan oleh generasi muda kini dengan adanya kecanggihan teknologi dan arus perdana.
Anyaman merupakan salah satu kraf yang menghasilkan produk tradisional seperti topi, bakul, tikar, tudung saji dan pelbagai lagi kegunaan harian yang menjadi satu tradisi turun temurun nenek moyang kita yang semakin dilupakan dalam kalangan masyarakat khususnya golongan belia.
Sebagai individu yang bergelar rakyat Malaysia haruslah menanam sifat tanggungjawab dalam diri masing-masing dalam memelihara warisan tradisional kita dengan cara mempelajarinya dan mengekalkan tradisi kepenggunaannya. Sebagai usaha merealisasikan matlamat ini, Exco Ekonomi dan Keusahawanan Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) sidang 2023/2024 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan satu bengkel anyaman iaitu Handicraft Mania pada 13 Januari lalu dengan menekankan teknik dalam menghasilkan kraf anyaman pelbagai produk seperti bakul. Program ini disertai seramai 70 orang peserta yang rata-ratanya daripada mahasiswa UPSI.
Pensyarah Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) Salwa Jamaldin telah dijemput sebagai pengajar bagi mengendalikan program ini. Pelaksanaan program ini sebenarnya adalah hasil idea daripada pengarah program sendiri iaitu Awang Hazril Haiqal Awang Marali yang mana menurut beliau, “Warisan negara dapat menjadi salah satu sumber pendapatan pada masa kini. Masyarakat kini terlupa bahawa warisan adalah budaya kita yang tidak akan lapuk ditelan zaman malahan hasil kraftangan warisan kita juga dapat dijual dengan harga yang tinggi,” katanya.
Objektif utama program ini dilaksanakan bertujuan mengekalkan warisan tradisi turun temurun tentang keunikan kraf anyaman yang mana sememangnya Malaysia kaya dengan warisan tradisionalnya termasuklah kraftangan. Dengan mengambil pendekatan ini, dua slot telah disajikan kepada peserta bengkel iaitu memahami ilmu tentang kraf anyaman dan juga slot pembuatan anyaman bakul. Pembelajaran secara praktikal ini mampu menzahirkan perasaan seronok dalam kalangan peserta, tambahan mereka dapat mengenali antara satu sama lain dan juga memperhalusi teknik yang betul dalam menghasilkan anyaman bakul yang pelbagai bentuk dan saiz.
Menurut Pengetua KHAR, Dr. Che Anuar Che Abdullah, “inspirasi bengkel ini adalah medium kepada peserta untuk menggilap bakat mereka dalam pembuatan dan penghasilan produk yang berunsurkan keusahawanan yang dijadikan satu kemahiran baru yang dapat dimanfaatkan mereka kelak”. Beliau juga berharap agar lebih banyak lagi program sebegini dapat dianjurkan agar para pelajar dapat mengisi masa lapang mereka dengan perkara yang berfaedah.
Bengkel yang berlangsung turut memberi pendedahan kepada peserta tentang teori dan pengetahuan tentang kraf anyaman para peserta. Peserta yang majoritinya terdiri daripada penghuni KHAR meluahkan rasa teruja dan seronok kerana dapat merasai pengalaman membuat anyaman secara amali di samping berpeluang untuk membawa pulang hasil tangan yang dihasilkan mereka.
Tidak dilupakan juga ucapan daripada felo penasihat program ini iaitu Norrulkamari Daud meluahkan rasa syukur atas kelancaran program tersebut. “Beliau juga “Saya berharap agar para peserta dapat mencapai objektif program iaitu selepas tamat pengajian di UPSI, para peserta mempunyai ilmu tambahan yang dapat diajar kepada orang lain untuk dimanfaatkan bersama,” katanya.
Program berakhir dengan majlis penyampaian cenderahati kepada pengajar dan sesi bergambar bersama peserta. Semoga para peserta dapat menggunakan kemahiran yang dipelajari dalam bengkel dengan sebaiknya, tambahan mampu menjadikannya salah satu bidang kerjaya kelak. Tahniah diucapkan kepada semua ahli jawatankuasa program atas penganjuran program yang bermanfaat ini.