Oleh: Siti Nur Maisarah Rohadi

Tanjong Malim: Pembangunan sukan perlu dilestarikan dalam murid di sekolah. Sokongan dalam kegiatan kokurikulum tidak hanya memberi impak terhadap kemahiran fizikal sahaja, malahan pemikiran yang cerdas dan jati diri yang kuat dapat dibentuk. Ianya sekaligus mencungkil permata bagi melahirkan atlet yang akan mengharumkan negara pada masa akan datang.

Melalui inisiatif ini, Exco Sukan dan Rekreasi Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) telah menganjurkan program USR Spektrum Sukan: Membentangkan Madani dalam Arena Sukan Sekolah yang berlangsung pada 17 Januari di Gimnasium UPSI, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program ini bertujuan untuk memperkenalkan sukan frisbee dan dodgeball dalam kalangan murid sekolah rendah serta membuka peluang dan ruang untuk murid mencuba sukan yang sedang membangun dan memberi galakan untuk murid yang kurang aktif berminat dalam aktiviti sukan.

Kolaborasi KHAR bersama kelab Red Scorpion UPSI dan kelab UPSI Dodgeball mendapat sambutan baik daripada tujuh buah sekolah yang terlibat iaitu SK Methodist, SK Aminudin Baki, SK Ampang Pecah, SK Rawang, SK Seri Fajar, SK Kampung Seoharto dan SK Kodiang.

Program ini menyambut baik konsep Semarak Mahasiswa Madani dalam komponen Knowledge Transfer Programme di mana perkongsian menjadi elemen utama dalam program ini.

Pengarah program, Iqqwan Jasman Su Azlan Su menjelaskan bahawa program ini memang bertujuan untuk memperkenalkan sukan baru frisbee dan dodgeball kepada murid-murid. Sukan yang tersenarai dalam sukan di olimpik ini memang belum terlalu masuk dalam masyarakat dan program ini setidaknya memberi pengalaman dan pengetahuan baru kepada murid tentang kehadiran sukan ini.

“Melalui program ini, saya yakin murid dapat mengenal frisbee dan dodgeball. Dalam sukan ini, kesemua kemahiran digunakan. Keseimbangan, ketelitian, fokus, stamina dan kesemua ini dapat merangsang murid- murid untuk menjadi seorang yang aktif dan berfikiran cerdas,” katanya.

Dr. Hj. Che Anuar Che Abdullah, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid menzahirkan rasa bangga apabila melihat penerimaan guru dan murid terhadap program yang dijalankan.

“Saya melihat semangat guru dan murid dalam bermain sukan frisbee dan doggeball ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk kita bersama anjurkan lagi program seperti ini. Anak-anak ini adalah masa depan negara dan program ini membuka ruang untuk mereka belajar dan tercungkil bakatnya. Mana tahu mereka akan menjadi atlet negara dan mengharumkan nama negara dalam bidang sukan ke peringkat antarabangsa,” katanya dalam ucapan.

Penasihat program, Hazman Yaakob menyatakan bahawa UPSI sentiasa membuka peluang mahasiswa untuk menganjurkan program-program perkongsian terus secara praktikal kepada masyarakat. Ia termasuk dengan gagasan Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr Md Amin Md Taff memastikan universiti sebagai peneraju dan tempat rujuk masyarakat dalam apa jua bidang.

“Selari dengan gagasan Dato Naib Canselor UPSI untuk menjadikan UPSI pusat rujuk dalam bidang termasuklah kokorikulum dan sukan, program ini termasuk salah satu yang menyokong aspirasi ini. Ia juga membantu mahasiswa kita untuk belajar menjadi guru yang hebat sekaligus membawa manfaat kepada masyarakat dengan saling berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam bidang sukan,” ujarnya.

UPSI dan KHAR akan sentiasa komited dalam meneraju program kemasyrakatan yang membuka peluang kepada mahasiswa untuk dekat dengan komuniti. Ia juga membuktikan universiti sentiasa menyokong kemenjadian mahasiswa dengan melahirkan generasi yang mampu menjadi pemimpin dan meneraju kebitaraan pendidikan dalam pelbagai aspek dan bidang.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)