Oleh: Ainin Sofiya Mohd Zakinuddin

Tanjong Malim – Menelusuri era digital yang kaya dengan visual dan kreativiti, kemahiran dalam bidang perisian pengeditan gambar seperti Adobe Photoshop adalah kunci menuju dunia tanpa sempadan dalam seni digital dan reka bentuk. Adobe Photoshop yang kini menjadi perisian pengeditan gambar yang terkemuka di seluruh pelosok dunia mampu membuka peluang yang luas dalam pelbagai peluang kreatif dan membantu pelajar mendalami potensi yang tidak terbatas dalam dunia seni digital khususnya dalam dunia pendidikan.

Dengan mengintegrasikan Adobe Photoshop dalam pengajaran dan pembelajaran, perisian yang mampu membina kemahiran seni visual pelajar dan membantu mencapai kecemerlangan dalam dunia seni digital yang semakin berkembang ini telah dimanfaatkan sebaiknya oleh Exco Media, Publisiti & Perhubungan Awam Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid melalui program What’s Great About Photoshop? Dianjurkan bagi memperkasakan penggunaan Adobe Photoshop dalam kalangan pelajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini menampilkan Safwan Ismail, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, sebagai panel khas.

Program ini terbahagi kepada dua slot iaitu slot teori yang berbentuk sesi perkongsian dan pengenalan Adobe Photoshop & Basic tool Photoshop.Pendedahan kepada peralatan asas ini penting bagi memastikan peserta mengetahui fungsi-fungsi alat yang terdapat dalam Adobe Photoshop.

Slot yang kedua pula merupakan slot praktikal atau Poster In The Making. Peserta bukan sahaja berpeluang untuk melihat demonstrasi pembuatan poster yang kreatif dan menarik, malah diberikan peluang untuk menghasilkan poster mengikut kreativiti masing-masing atas bimbingan panel jemputan.

Menurut Pengarah Program What’s Great About Photoshop?, Afifah Norasikin program ini bertujuan untuk melahirkan individu yang kreatif dalam menggunakan teknologi semasa proses pembelajaran.

“Program ini bertujuan untuk meningkatkan daya cipta mahasiswa dan mahasiswi dalam pembaharuan dan pengupayaan modal insan dalam bidang penciptaan poster untuk menarik lebih ramai sasaran pelanggan dalam mempromosikan sesuatu program mahupun tujuan pemasaran” ujarnya.

Dr. Che Anuar Che Abdullah selaku Pengetua Kolej Harun Aminurrashid dalam ucapannya berkata, “Program seperti ini amat penting untuk terus diadakan bagi kerana Adobe Photoshop mampu meningkatkan kualiti pembelajaran semasa di dalam kelas. Oleh itu, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid akan mengadakan program ini pada setiap tahun bagi memastikan tiada pelajar yang ketinggalan dalam bidang seni digital dan reka bentuk.”

Melalui program What’s Great About Adobe Photoshop? ini, mahasiswa UPSI dapat mengasah potensi dan kemahiran digital dalam penghasilan poster menggunakan Adobe Photoshop. Program ini secara tidak langsung membuka mata pelajar tentang kepentingan dunia seni digital yang dinamik. Program ini bukan hanya sebuah kursus tetapi merupakan pengalaman yang mampu memupuk inovasi, kreativiti, dan kecekapan digital dalam kalangan generasi masa depan.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)