Oleh: Fauzu Hazimi Pauzu Azmi (Pelajar Praktikal BKK)

TANJUNG MALIM- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tidak ketinggalan dalam menyertai telesidang Wacana Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi 2024 yang berlangsung pada 12 Januari di Auditorium, Perpustakaan Tuanku Bainun. Persidangan tersebut diadakan di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM) pada jam 10 pagi yang dihadiri oleh Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir yang merupakan Menteri Pendidikan Tinggi.

Persidangan yang berlangsung merupakan pembentangan terhadap perancangan serta landasan hala tuju KPT pada tahun 2024 yang dilihat sebagai satu cabaran dalam  mengemudi bahtera kependidikan tinggi negara.

20 hala tuju telah dibentangkan beserta dengan lima fokus utama yang perlu diberi penekanan kepada perancangan serta strategi KPT mengemudi tahun 2024 ini iaitu Penyediaan Bakat Terbaik Negara, Pengukuhan Ekosistem Penyelidikan dan Inovasi, Pelaksanaan Pendekatan Baharu Program Pemindahan dan Perkongsian Ilmu, Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi dan Pemantapan Ekosistem Pemboleh Daya.

Dato’ Seri Zambry Abdul Kadir berkata semasa ucapannya, “Sementelahan mantan Menteri Pendidikan Tinggi telah meletakkan kementerian ini di landasan yang tepat dengan pengenalan gagasan hala tuju yang mantap. Batu aras pertama telah diletakkan. Kini tibalah masanya untuk saya memacu Kementerian ini untuk menuju ke batu aras seterusnya”.

Secara hakikatnya, kita perlu akur dengan perubahan zaman yang menjadi salah satu cabaran yang besar khususnya dalam bidang pendidikan tinggi. Oleh hal yang demikian, beliau juga ada menekankan betapa pentingnya sikap adaptif terhadap perubahan serta keupayaan penilaian kritis dalam mendalami lapisan perubahan dalam zaman paradoks ini.

Beliau juga berkata “Perubahan teraju kementerian berkemungkinan menyaksikan perubahan ‘lenggok kepimpinan’. Namun begitu, jangan bimbang jika berlaku perubahan besar 4 kepada dasar yang telah dirangka sebelum ini apabila saya menerajui kepimpinan kementerian ini. Bimbang akan menjejaskan kesinambungan pelaksanaan dasar dan inisiatif yang telah direncana. Bimbang bila kita akan sampai ke sasaran jika asyik menekan butang “reset”.

“Di KPT, kecemerlangan bukan suatu pilihan – it is not an option. Kecemerlangan adalah suatu kemestian. Dalam kerangka gerak kerja berstrategi, seringkali kita mengadaptasi model-model strategi tertentu yang difikirkan mampu membantu melonjak kecemerlangan”.

Telesidang Wacana Landasan Hala Tuju KPT ini turut dihadiri lebih 50 orang kakitangan UPSI secara atas talian yang dianjurkan oleh Bahagian Komunikasi Korporat, UPSI.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)