Oleh: Tuan Husna Izzah Tuan Hussin
Tanjong Malim – Selaras dengan matlamat untuk meluaskan jaringan komunikasi dan kerjasama antara institusi pengajian tinggi, Kolej Harun Aminurrashid Universiti Pendidikan Sultan (UPSI) menerusi program Penanda Aras Pemangkin Siswa Madani telah mencapai kata sepakat bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam menjalinkan kolaborasi dari segi perkongsian ilmu dan budaya.
Rombongan lawatan daripada UPSI yang bernaung di bawah nasihat Dr. Che Anuar Che Abdullah selaku pengetua Kolej Harun Aminurrashid disambut mesra oleh Timbalan Pengetua 1 Kolej Kediaman Dalam Kampus Parit Raja, Dr. Nur Ilyani Ramli bersama barisan Majlis Kepimpinan Pelajar (MKP). Dr. Nur Ilyani Ramli dalam ucapan aluannya menyatakan hasrat UTHM untuk bekerjasama dengan universiti lain dalam bidang akademik, penyelidikan, dan perkhidmatan. Selain itu, beliau berharap lawatan ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan menggalakkan pelajar UPSI dan UTHM untuk berkolaborasi dalam pelbagai program yang akan datang.
Sepanjang lawatan diadakan, mahasiswa UPSI berpeluang melawat dan memantau selok belok kolej kediaman di UTHM termasuk meneliti perancangan program, inisiatif kebajikan dan fasiliti yang disediakan kepada penghuni di kolej kediaman UTHM. Pertemuan antara dua institusi ini memberi ruang kepada mahasiswa untuk saling berkenalan, beramah mesra dan bertukar idea dari aspek akademik, kokurikulum, kegiatan harian dan sebagainya.
Dr. Che Anuar Che Abdullah berkata, “lawatan yang melibatkan pihak Kolej Harun Aminurrashid dan pengurusan Kolej Kediaman Dalam Kampus khususnya Kolej Kediaman Tun Fatimah dapat membuka ruang dan peluang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi pandangan dan cadangan bagi penambahbaikan pengurusan kolej.”
Norrulkamari Daud merangkap Felo Penasihat program berkata, “Semoga hubungan antara pihak KHAR dengan UTHM dapat dijalinkan dengan lebih erat dan memberi manfaat kepada penghuni kolej KHAR dan kolej Tun Fatimah. Harapan agar pihak pengurusan kolej kediaman Tun Fatimah dapat berkunjung ke KHAR pada masa akan datang. Kami mengalu-alukan kehadiran delegasi UTHM ke UPSI.”
Shamir Zulkifli selaku pengarah program menyifatkan bahawa lawatan ini merupakan pengalaman yang amat bermakna kerana julung kalinya lawatan penanda aras dibuat di UTHM. Selain itu, beliau merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak Kolej Kediaman Tun Fatimah, UTHM atas kesudian menerima kunjungan dari pihak KHAR, UPSI. Lawatan berakkhir dengan sesi bergambar dan penyerahan cenderahati kepada pihak UTHM untuk kenang-kenangan.
Lawatan Penanda Aras Pemangkin siswa ini bukan sahaja membantu meluaskan jaringan kolaborasi antara UPSI dengan institusi pengajian tinggi lain di Malaysia, malah ia juga membantu merapatkan jurang sosial antara dua institusi pengajian tinggi melalui pertukaran idea dan perkongsian ilmu dari pelbagai aspek.