Oleh: Intan Farahana Abdul Rani
Tanjong Malim: Pihak Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Perak dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK) telah memeterai persefahaman menjalinkan kerjasama strategik bersama Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) untuk menjalankan projek membasmi keciciran kanak-kanak dalam penguasaan kemahiran membaca dan menulis (2M) di sekolah-sekolah rendah seluruh Negeri Perak.
Mesyuarat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Sapphire, NCDRC pada 18 Januari telah dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Norazilawati Abdullah, Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi, NCDRC. Turut serta dalam mesyuarat ini adalah seorang Pegawai Khas (Dato’ Salbiah), Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan merangkap Pengerusi GPMS Perak, Faizal Haramaini dan barisan jawatan kuasa dari GPMS serta barisan pengurusan serta pentadbiran NCDRC.
Menurut Dr. Norazilawati, pemilihan NCDRC sebagai rakan strategik dalam misi membantu kumpulan kanak-kanak dalam program Corporate Social Responsibility (CSR) ini adalah sebagai suntikan positif bagi NCDRC terus membantu berkongsi sumber pendidikan dan kepakaran bersama komuniti dari berlakunya keciciran dalam penguasaan kemahiran 2M dalam kalangan kanak-kanak khususnya bagi kanak-kanak negeri Perak.
“Pengiktirafan yang diberikan ini menunjukkan komitmen NCDRC untuk terus-menerus mengembleng kepakaran dan sumber bersama dengan Kerajaan Negeri Perak serta badan NGO seperti GPMS bagi membantu kanak-kanak negeri Perak khususnya untuk menguasai kemahiran asas pendidikan iaitu membaca dan menulis”, ujar beliau.
Pembentangan usul bagi program membasmi keciciran 2M kanak-kanak sekolah-sekolah rendah di negeri Perak di Bilik Mesyuarat Sapphire, NCDRC
Diharapkan agar kerjasama yang terjalin ini akan dapat memberikan manfaat kepada golongan sasaran dalam membantu mengatasi isu keciciran kemahiran asas iaitu 2M sekaligus membantu meningkatkan motivasi dan pencapaian prestasi akademik kanak-kanak negeri Perak.
Mesyuarat yang dilaksanakan ini juga merupakan rentetan dari Kunjungan Hormat Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) ke Pejabat Dato’ Salbiah Mohamed, Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan pada awal Januari yang lalu.