Oleh: Muhammad Safwan Ismail

Tanjong Malim- Seramai 20 Fasilitator dalam kalangan Persatuan-persatuan Mahasiswa Islam di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melaksanakan Program Kembara Ilmu Tautan Ukhuwwah (KITU 1.0) dengan kerjasama Pusat Islam UPSI dan Persatuan Pengetua Sekolah Agama Rakyat Negeri Kedah yang diketuai oleh Mohammad Aiman Afeendee selaku Pengarah Program pada 11 hingga 13 Januari yang lalu.

Program ini bermula di Madrasah Nurul Hidayah, Kuala Ketil diikuti di Pondok Raudhatul Jannah Sik. Antara objektif yang ingin diterapkan adalah sistem pendidikan pondok serta jiwa mujahadah sebelum Mahasiswa dan Mahasiswi UPSI bergelar seorang guru.

Pelbagai aktiviti dijalankan bersama pelajar Madrasah bermula dari sesi ice breaking, riadah pagi seterusnya kepada aktiviti slot Fardhu Ain yang dijalankan melalui aktiviti bermodul menjadikan ianya menarik dan terus kepada praktikal berdasarkan apa yang telah dipelajari. Bakat para pelajar ini juga dicungkil melalui persembahan yang dilaksanakan semasa aktiviti Malam Cinta Rasul.

Aktiviti berkumpulan oleh Pelajar Madrasah Nurul Hidayah, Kuala Ketil
Pengarah Program, Saudara Aiman sedang menguji peserta sebelum praktikal tayammum

Pihak Masjid Al-Mursyidin UPSI juga turut berbesar hati menyampaikan sedikit sumbangan kepada pihak Madrasah dan Pondok Raudhatul Jannah sebagai penghargaan atas kesudian menerima delegasi lawatan daripada UPSI. Sesi terakhir Kembara Ilmu Tautan Ukhuwwah (KITU 1.0) bertempat di Pondok Raudhatul Jannah, Sik dengan mendengar tausiyah yang disampaikan oleh Ustaz Haji Alias Abdullah berkaitan tuntutan mempelajari ilmu Aqidah, Fiqh dan Tasawwuf.

Sesi bergambar bersama Mudir Pondok Raudhatul Jannah, SIk dan Fasilitator KITU 1.0

Seluruh barisan fasilitator dan warga Pusat Islam UPSI mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ustazah Fadhilah Mohd Zainon, Penolong Kanan Madrasah Nurul Hidayah yang banyak membantu dari sudut pengurusan sepanjang KITU 1.0 berlangsung. Tidak dilupakan juga buat Mudir Madrasah Nurul Hidayah, Ustaz Ahmad Yazid dan Mudir Pondok Raudhatul Jannah, Ustaz Haji Alias diatas kerjasama yang diberikan.

Moga program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam memberikan pendedahan berkaitan pendidikan menggunakan sistem pondok disamping kerjasama yang dijalinkan antara Pusat Islam UPSI dan persatuan-persatuan yang berfokuskan dakwah dan Islam dalam memartabatkan syiar Islam pada era zaman yang kian mencabar ini.