Oleh: Muhammad Aqil Aryan Wong (UCTC)

Tanjong Malim- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Transfomasi Komuniti Universiti (UCTC) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MyFundAction bagi menjalinkan kerjasama dalam melaksanakan program Corporate Social Responsibility (CSR) pada 9 Januari lalu.

Dengan termeterainya memorandum ini, UPSI akan bekerjasama dengan MyFundAction dalam melaksanakan aktiviti CSR berbentuk misi menyelamat dan misi pasca bencana alam khasnya banjir yang melanda seluruh negara seperti pemindahan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS), pembersihan rumah mangsa banjir, mengadakan kelas tuisyen bagi anak-anak mangsa banjir di PPS, sesi kaunseling dan penyaluran sumbangan makanan, minuman dan keperluan asas.

Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah berkata, UPSI dan MyFundAction akan menjalinkan kerjasama melalui UCTC dalam menggerakkan sukarelawan bagi program kesukarelawanan misi pasca banjir dalam melaksanakan kerja-kerja pembersihan pasca banjir dan pengagihan sumbangan demi memastikan bantuan segera dihulurkan kepada yang memerlukan dan secara tidak langsung menyahut seruan #KPTPrihatin.

Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPSI dan MyFundAction oleh Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, (empat dari kanan) dan Ghafur Rahim Mustakim (tiga dari kanan)

MoU ditandatangani Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff dan Ketua Pegawai Eksekutif MyFundAction, Ghafur Rahim Mustakim di Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI. Majlis turut disaksikan oleh Dr. Mohd Azlan dan juga daripada pihak MyFundAction.

Prof. Datuk Dr. Md Amin berkata, usaha dan kerjasama strategik dan bersepadu antara industri sebegini bukan sahaja akan melonjakkan kecemerlangan IPT tempatan, menjadikan pengisian pengajiannya lebih berkualiti, relevan dan memberikan kesan besar kepada semua pihak terutama komuniti ditimpa bencana.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berharap kerjasama strategik ini mampu memindahkan teknologi dan pengetahuan serta kerohanian dengan tujuan pembaikan dan peningkatan kemampanan universiti dan industri bagi meningkatkan nilai dalam kemajuan dan pembangunan ekonomi di samping peranan dalam menghasilkan modal insan.

Pada masa yang sama, Ghafur Rahim turut berbesar hati dapat menjalinkan kolaborasi antara MyFundAction bersama Institusi Pengajian Tinggi Awam (UA) di Malaysia iaitu UPSI dan bakal membuka lebih banyak peluang penglibatan pelajar IPT dan institusi yang berkaitan untuk kerjasama dengan pihak industri yang berkualiti dan berkepakaran.