Oleh: Shahaniza Shamsuddin, NCDRC
Tanjong Malim– Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima kunjungan daripada Albukhary International University (AIU) yang diketuai oleh Dekan Sekolah Pendidikan dan Sains Manusia, Profesor Madya Dr. Tengku Shahrom Tengku Shahdan diiringi kakitangan dan pelajar yang terdiri daripada beberapa buah negara seperti Malaysia, Indonesia, Nigeria, Afghanistan, dan Bangladesh, bertujuan dalam merealisasikan program BECE Industrial Engagement Program antara AIU dan NCDRC yang berlangsung mulai 15 hingga 16 Januari.

Program yang turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Aminah Ayob, pakar rujuk pendidikan awal kanak-kanak ini dijalankan selama dua hari melibatkan tinjauan ke TASKA dan TADIKA NCDRC dan turut memberi gambaran kepada pelajar pengajian pendidikan awal kanak-kanak AIU mengenai aktiviti serta fasiliti yang disediakan bagi pengukuhan perkembangan kanak-kanak. Selain itu, pelajar-pelajar AIU dan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) juga turut membentangkan projek-projek inovasi yang bertujuan mendidik serta berpotensi dalam memperkukuh pertumbuhan kanak-kanak. Sesi perkongsian ilmu berkaitan kaedah pengajaran di TASKA dan TADIKA juga turut dilaksanakan oleh guru-guru di NCDRC sepanjang program ini diadakan. Ternyata program sebegini telah menarik minat pelajar-pelajar AIU dan pensyarah untuk terlibat dalam latihan mengajar dan program pengajian yang ditawarkan.


Melalui program yang dijalankan ini, sesi perbincangan inisiatif penyelidikan bersama antara kedua-dua pihak turut diadakan. Beberapa bidang tumpuan yang berpotensi sebagai asas kolaborasi adalah penyelidikan dan projek perundingan berkaitan kesejahteraan kanak-kanak termasuk projek usahawan TASKA di Negeri Kedah.
Menurut Profesor Madya Dr. Tengku Shahrom, program sebegini sangat diperlukan untuk pendedahan kepada pelajar dan juga pensyarah-pensyarah di AIU dan berharap hasil perbincangan positif daripada lawatan ini dapat menyaksikan nilai tambah yang lebih baik kepada pelajar-pelajar dan peluang kerjasama yang lebih kukuh untuk membawa pendidikan dan penyelidikan kedua-dua pihak ke peringkat yang lebih tinggi.
Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa turut menyatakan bahawa program ini adalah langkah proaktif dalam memperkukuhkan hubungan kerjasama antara UPSI dan AIU terutamanya dalam aktiviti kesejahteraan kanak-kanak. Tambah beliau, NCDRC dan AIU akan terus fokus dalam menggalakkan dan mempromosikan penyelidikan berkaitan asuhan dan didikan kanak-kanak yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.