Oleh: Noel Dexter Nordin
KUALA LUMPUR – Sekretariat Rukun Negara (SRN), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menjayakan Program Misi Kemanusiaan yang melibatkan lebih daripada 100 orang gelandangan di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur pada 17 Januari yang lalu.
Program Misi Kemanusiaan yang dianjurkan oleh Biro Ekonomi Sekretariat Rukun Negara (SRN) dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia cawangan Wilayah Persekutuan (AMAL Wilayah) merupakan salah satu inisiatif untuk membela nasib golongan yang tidak bernasib baik seperti gelandangan. Program yang berlangsung pada 8.30 pagi hingga 2.00 petang ini telah melibatkan 35 orang ahli Sekretariat Rukun Negara (SRN) dan dilaksanakan di Pusat Komuniti Warung Makan Sahabat.


Pelaksanaan Program Misi Kemanusiaan ini bertujuan untuk memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan. Selain itu, Sekretariat Rukun Negara (SRN) UPSI turut melaksanakan program ini bagi memupuk semangat tolong-menolong dalam kalangan mahasiswa melalui aktiviti-aktiviti kesukarelawanan. Program ini juga dilihat berupaya meningkatkan nilai keprihatinan dalam diri mahasiswa UPSI. Bukan itu sahaja, semua ahli yang terlibat juga dapat menyantuni gelandangan atau rakan jalanan untuk mendengar kisah kehidupan mereka.

Pengurus besar Yayasan Amal cawangan Wilayah Persekutuan iaitu Mohd Khairul Azman Md Daud dalam ucapannya berharap agar generasi muda dapat melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan seperti yang dilakukan dalam program ini. Bukan sahaja kita dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan membantu rakan jalanan ini, malah generasi muda akan merasakan satu pengalaman yang berharga dalam kehidupan mereka.
Melalui Program Misi Kemanusiaan ini, pihak Sekretariat Rukun Negara (SRN) UPSI berharap agar generasi muda menjadi lebih prihatin terhadap keadaan masyarakat di sekeliling mereka. Generasi muda khususnya mahasiswa dan mahasisiswi perlu cakna dan bersedia ke arah menjadikan negara kita lebih aman damai dan sejahtera melalui penglibatan aktiviti kesukarelawanan.