Oleh: Dr. Mohd Nazri Abdul Raji

Tanjong Malim: Program Karnival Keusahawanan Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung dengan meriahnya pada 24 Januari yang lalu di kawasan letak kereta, Muzium Pendidikan Nasional, UPSI. Program karnival ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan awal kepada mahasiswa dalam aktiviti keusahawanan dan menggalakkan mahasiswa FTV menjalankan aktiviti perniagaan jualan makanan yang telah mereka pelajari.

Program ini melibatkan mahasiswa yang mengambil kursus masakan di bawah Jabatan Hospitaliti dan Sains Konsumer iaitu Kursus Masakan Timur, Kursus Masakan Barat, Kursus Bakeri dan Konfeksioneri dan Kursus Penyediaan dan Perkhidmatan Makanan. Menariknya mahasiswa ini terdiri dari gabungan pelbagai program iaitu program Sarjana Muda Pendidikan (Ekonomi Rumah Tangga), Sarjana Muda Pendidikan (Reka Bentuk Teknologi) dan Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas).  Mahasiswa bagi setiap kursus diberi tugasan untuk menjalankan satu projek keusahawanan di bawah seliaan pensyarah dan Penolong Pegawai Penyediaan Makanan. Pensyarah yang terlibat ialah Dr. Zahidah Ab. Latif, Dr. Mohd Nazri Abdul Raji dan Dr. Mohd Yusof Kamaruzaman. Manakala Penolong Pegawai Penyediaan Makanan iaitu Mohd Syahir Shahuddin, Muhammad Hazwan Ibrahim dan Fuad Ashriq Mohamad Farid.

Mahasiswa bersama dengan staf yang terlibat membuat perancangan 3 minggu awal bagi persediaan program ini. Melalui beberapa siri perbincangan kumpulan, satu perancangan kerja dibentuk untuk memastikan projek ini berjalan lancar dari pelbagai sudut dan seorang ketua dilantik bagi mengetuai kumpulan projek masing-masing. Mahasiswa juga diberi kebebasan dengan bimbingan untuk memilih menu jualan serta kaedah promosi yang dijalankan yang bersesuaian dengan teknologi terkini. Dengan program keusahawanan ini, mahasiswa dapat merasai pengalaman sebenar bagi menjalankan satu perniagaan di dalam bentuk kumpulan. Selain itu, mahasiswa juga dapat menyerlahkan bakat kepimpinan dan komunikasi serta dalam masa yang sama memupuk semangat kerjasama yang tinggi dan komited kepada tugas yang diberikan. Melalui karnival ini, banyak aspek kemahiran insaniah yang dipupuk bagi melahirkan graduan yang holistik dan kompeten, semangat keusahawanan yang tinggi dan kalis masa hadapan. Ini selaras dengan salah satu daripada 20 landasan hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi tahun 2024 oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir iaitu ‘Kemenjadian pelajar dan mahasiswa’.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPSI, Profesor Ts. Dr. Suriani Abu Bakar turut hadir mengunjungi gerai mahasiswa ini diringi oleh Dekan FTV, Dr. Mohd Azlan Mohammad Hussain, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Profesor Madya Dr. Zaliza Hanapi, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Dr. Norhanizan Usaizan dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Suriani Mohamed serta Ketua Jabatan Hospitaliti dan Sains Konsumer, Dr Zahidah Ab. Latif.

Antara menu yang dijual semasa karnival ini ialah nasi minyak dan laksa Nyonya mewakili kursus masakan timur, Prosperity burger dan Chicken Cordon Blue mewakili kursus masakan barat, Donut, cream choux au craquelin, burnt cheese cake dan kek tapak kuda mewakili kursus bakeri dan konfeksioneri, manakala barbeque lamb mewakili kursus penyediaan dan perkhidmatan makanan. Selain dari progam karnival keusahawanan, turut berlangsung pada hari dan tempat yang sama iaitu pameran fesyen antarabangsa yang turut dianjurkan oleh mahasiswa dari FTV dengan kerjasama mahasiswa dari Universitas Negeri Malang, Indonesia.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)