Oleh: Anis Nazihah Mat Daud & Shahrul Kadri Ayop (FSM)

Tanjung Malim: Jabatan Fizik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah bekerjasama dengan Kolej Matrikulasi Kedah serta Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang dan Pejabat Pendidikan Daerah Muallim, Perak untuk menganjurkan Seminar Pendidikan Fizik Kebangsaan 2023 (SPFK 2023) pada 26 September 2023 yang lalu.

Menurut Pengerusi SPFK 2023, Prof. Madya Ts. Dr. Shahrul Kadri Ayop, penganjuran SPFK 2023 yang menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar utama bertujuan untuk memberi peluang kepada komuniti Pendidikan Fizik dari seluruh Malaysia berkongsi inovasi, hasil kajian, amalan dan isu semasa yang berkaitan dengan Pendidikan Fizik pada peringkat kebangsaan tanpa sebarang batasan.

Meskipun diadakan buat pertama kali pada tahun ini, seminar yang bertemakan ‘mempererat komuniti Pendidikan Fizik merentasi aras, ruang dan masa’ ini telah berjaya mengumpulkan 105 orang peserta yang terdiri daripada komuniti Pendidikan Fizik dari pelbagai institusi awam dan swasta di seluruh negara.

Ketika berucap merasmikan SPFK 2023, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Suriani binti Abu Bakar  menzahirkan harapan beliau agar hasil inovasi, hasil kajian, amalan dan isu yang dikongsikan ketika SPFK 2023 dapat menjadi pemangkin kepada transformasi yang berlaku dalam sistem pendidikan negara pada masa akan datang.

Dekan FSM, Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah berkata penganjuran SPFK 2023 telah menyediakan ruang kepada para peserta dan pembentang untuk terus berkreatif dan berinovasi dalam bidang pendidikan bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara, selaras dengan moto FSM UPSI ‘memupuk minda kreatif’.

Perkongsian Pengucaptama 1, Prof. Madya Dr. Tho Siew Wei (pensyarah Jabatan Fizik FSM UPSI) yang bertajuk “Innovative Use of Free Mobile Applications for Physics Education and Scientific Investigation” membincangkan secara terperinci tentang penggunaan aplikasi telefon pintar untuk mempelajari konsep Fizik dalam kehidupan seharian. Manakala, pengucaptama 2, Tuan Mohamad Salleh bin Ahmad (pengarah Kolej Matrikulasi Kedah) pula berkongsi tentang amalan pembelajaran Fizik di Kolej Matrikulasi Kedah.

Pengucaptama 3, Tuan Osman Mohamed Bahari, AMP (Pegawai Pendidikan Daerah Batang Padang) pula mengetengahkan isu, cabaran dan intervensi yang dilaksanakan untuk meningkatkan enrolmen dan pencapaian pelajar sekolah dalam daerah Batang Padang dalam bidang STEM. Perkongsian daripada ketiga-tiga pengucaptama menerima sambutan yang amat positif daripada para peserta dan pembentang SPFK 2023.

Seminar yang dijalankan secara dalam talian ini juga melibatkan pembentangan sesi selari yang membincangkan tentang inovasi, hasil kajian, amalan dan isu tentang Pendidikan Fizik bagi pelbagai peringkat pendidikan iaitu sekolah menengah, pra-universiti dan universiti.

Majlis penutup SPFK 2023 disempurnakan dengan pengumuman 10 buah projek inovasi yang memenangi Anugerah Emas iaitu Pembelajaran Falak Berasaskan Permainan: Permainan Kad Dengan Implementasi Augmented Reality (AR), Optical Kit, Kit Jatuh Bebas Audio, Modul Makmal Interaktif (I-Lab) Bagi Murid Fizik Tingkatan Empat, Pembangunan Dan Kebolehgunaan Aplikasi Glosari Fizik Tingkatan 5 Dalam Kalangan Guru Pelatih Fizik, Adam And The Warehouse: A New Card Game Fostering Students’ Learning On Resultant Force, EZY GRAPH KIT, GKK.5E: Integrasi Model 5E Dalam G- Kinematics Kit, SVK.5E: Integrasi Model 5E Dalam Stellarverse Kit dan MAG DAMP: Simple and low cost electromagnetic based damping experimental kit.