Pensyarah UPSI, Pengetua SMK RPS Betau (JHEOA), guru-guru matematik serta barisan fasilitator bersama peserta program Kembara Angka Siri 1: Alternatif Penyelesaian Matematik

Oleh: Afifah Adriana Aznan (UCTC)

26 Januari, Kuala Lipis: Persatuan Rakan UCTC dibawah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan kerjasama Jabatan Kerjasama Orang Asli (JAKOA) dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Lipis bantu komuniti orang asli di daerah Kuala Lipis, Pahang melalui Program Kembara Angka Siri 1: Alternatif Penyelesaian Matematik.

Program pemindahan ilmu yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan RPS Betau, Kuala Lipis ini berfokuskan kepada komuniti orang asli yang terdiri daripada 40 orang murid tingkatan 2 hingga tingkatan 5 daripada beberapa sekolah di daerah Kuala Lipis dalam menguasai dan meningkatkan kemahiran subjek Matematik.

Menurut Dr. Shazlyn Milleana Shaharudin, Pensyarah Fakulti Sains dan Matematik selaku Penyelaras Program berkata melalui program ini, murid-murid didedahkan mengenai penggunaan Kit Mabox dan Kit Transiso sebagai bahan bantu mengajar (BBM) atau alat pemudah cara khususnya bagi topik Pelan dan Dongakan dan Transformasi Isometri dalam subjek Matematik.

“Kit pengajaran dan pembelajaran (PdP) ini merupakan pembangunan projek inovasi yang bertujuan membantu para pendidik menggunakannya sebagai alat bahan bantu mengajar dalam menyelesaikan permasalahan pelajar dalam topik Pelan dan Dongakan dan Transformasi Isometri yang melibatkan operasi melukis pelan dan dongakan serta mengenal pasti jenis transformasi iaitu translasi, pantulan dan putaran dengan lebih mudah,” ujarnya.

Dr. Shazlyn menerangkan jawapan yang telah disiapkan oleh murid-murid kumpulan tersebut.
Fasilitator sedang membimbing murid-murid menyelesaikan masalah matematik menggunakan Kit Mabox

Pengarah UCTC, Prof Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah menyambut baik usaha pelaksanaan program ini yang menggiatkan penyelidikan dan inovasi sebagai satu inisiatif libat sama universiti dan komuniti dalam menggembleng tenaga bagi membantu meningkatkan tahap pendidikan di samping mendekatkan universiti dengan komuniti luar bandar.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata inisiatif dalam menggunakan Kit Mabox dan Kit Transiso sebagai bahan bantu mengajar dalam pendidikan Matematik ini dapat merangsang keinginan, minat dan fokus murid dalam meningkatkan penguasaan dan kefahaman yang lebih mendalam terhadap subjek Matematik khususnya kepada murid yang bakal menduduki peperiksaan SPM.

Dalam pada itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff berkata, inovasi dalam penggunaan elemen dan reka bentuk bagi bahan bantu mengajar ini mampu menarik minat dan kefahaman murid dengan tujuan penambahbaikan dan peningkatan kemampanan universiti dan komuniti bagi meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia setanding dengan negara-negara maju dalam menghadapi dunia globalisasi yang semakin mencabar serta menjadikan pengisian pendidikan luar bandar lebih berkualiti, relevan dan memberikan kesan besar kepada semua pihak.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)