Oleh: Erina Anisa Azri dan Hazim Haziq Riza

Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim – Exco Kesenian dan Kebudayaan Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (KUO) dengan kerjasama Universitas Bina Darma (UBD), Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), Kelab Silat Gayong Malaysia, Kelab Pencak Silat UPSI, Kelab Tari Destar Limar, Kelab Muzik Gamelan Margamas dan Ikatan Bahasa Iban telah menganjurkan program Colors Across Culture yang bertempat di Dewan KUO, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Seramai lebih kurang 1100 orang peserta yang terdiri daripada peserta antarabangsa serta mahasiswa UPSI telah menyertai program tersebut.

Tujuan program ini anjurkan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara kedua-dua buah negara iaitu Malaysia dan Indonesia. Bagai isi dengan kuku, itu lah perumpamaan yang sesuai bagi dua negara bersaudara. Terdapat pelbagai persamaan antara Malaysia dan Indonesia yang dapat dikaitkan dari segi faktor sejarah, geografi dan budaya. Memetik sejarah ringkas, kedua-dua negara ini pernah menjadi sebahagian daripada empayar Srivijaya dan Majapahit. Pengaruh empayar ini masih boleh dilihat dalam seni, seni bina, dan budaya kedua-dua negara pada hari ini.

Program ini telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Nizam Nasrifan selaku Pengetua Koleh Ungku Omar, UPSI. Program ini dimulakan dengan sebuah persembahan memukau oleh Kelab Silat Gayong Malaysia dan Kelab Pencak Silat UPSI dan seterusnya nyanyian lagu ‘Negaraku’ dan ‘Indonesia Raya’ bergema menyelubungi pekarangan Dewan KUO.

Slot yang pertama iaitu Walk with Culture berunsurkan peragaan pakaian tradisional yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Alunan muzik gamelan menyuntik elemen klasik semasa pakaian kaum Kadazan mula diperagakan diikuti kaum India, Melayu, Cina, Iban dan diakhiri dengan pakaian tradisional Indonesia dari UBD dan UPI. Slot kedua, Our Stories: Explore The Culture pula berunsurkan tarian kebudayaan yang bermacam rentak seperti tarian iban, tarian zapin dan tarian kipas. Peserta dari UBD dan UPI juga tidak terlepas dari turut menonjolkan tarian kebudayaan negara mereka.

“Program Colors Across Culture ini merupakan sebuah program yang julung kalinya diadakan dan ini merupakan suasana baharu yang pernah saya lihat dengan keadaan dewan yang diterangi lampu berwarna-warni. Saya turut berbangga melihat ramai pengunjung yang hadir bagi menyemarakkan suasana program,” kata Dr. Nizam semasa ucapan perasmian.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada pengarah program dan rakan-rakan seperjuangan kerana berjaya menjalankan sebuah program yang sangat berimpak. Terima kasih kepada rakan kolaborasi kerana sudi menerima pelawaan kami dan tidak dilupakan, mahasiswa/i serta pensyarah daripada Indonesia yang turut serta dalam menjayakan dan memeriahkan suasana program. Tahniah saya ucapkan,” katanya lagi.

Program Colors Across Culture secara tidak langsung telah memberikan inspirasi kepada semua pihak bahawa adat dan tradisi budaya perlu disemai bagi mengekalkan peninggalan nenek moyang agar ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’. Bahkan ianya telah memberi 1001 kenangan yang tidak dapat dilupakan menerusi kerjasama daripada negara serumpun dalam memartabatkan kesenian dan kebudayaan negara masing-masing.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)