Oleh: Nik Nureen Aeisya dan Hazim Haziq Rizal

Manjung, Perak – Exco Kebajikan dan Perkhidmatan Kolej Ungku Omar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Persatuan MyKP Teluk Senangin, Jabatan Kesihatan Persekitaran & Perkhidmatan Bandar MPM, Persatuan Kebajikan NAAM Malaysia, Persatuan Geografi Universiti Malaya dan komuniti Teluk Senangin telah menganjurkan Program KUO Force: Sebutir Permata, Khazanah Negara bertempat di Pantai Teluk Senangin, Manjung, Perak pada 18 Januari yang lalu.

Program ini disertai oleh seramai 17 orang AJK program ini yang terdiri daripada kalangan Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar dan Rakan Exco Kolej Ungku Omar serta 20 orang dari penghuni Kolej Ungku Omar, UPSI. Program ini juga turut disertai oleh 15 orang pensyarah, 21 orang pelajar dari Universitas Bina Darma (UBD), Palembang dan Universitas Pendidikan Indonesia (UPI). Tujuan program ini diadakan adalah untuk mengeratkan silaturahim dan menjalankan komunikasi secara dua hala sesama peserta dari kedua-dua negara di samping bertujuan untuk menjaga kebersihan persekitaran.

Fikrie sedang memberikan ucapan dalam majlis perasmian KUO Force: Sebutir Permata, Khazanah Negara.

“Program ini adalah satu langkah penting dalam perjalanan pembangunan Indonesia dan Malaysia. Motivasikanlah diri anda kerana program ini bukan hanya sekadar satu tanggungjawab peribadi, tetapi merupakan satu misi untuk memastikan masa depan kedua-dua negara kita berada di barisan hadapan pembangunan dan kemajuan,” kata Fikrie, wakil pegawai MPM dalam ucapan beliau pada majlis perasmian KUO Force: Sebutir Permata, Khazanah Negara.

Program ini telah disempurnakan melalui gimik pelancaran menanam pokok pelindung oleh Razak, kaunselor Majlis Perbandaran Manjung. Wakil MPM turut hadir memberikan taklimat 3R serta turut serta dalam aktiviti seperti gotong-royong membersihkan kawasan pantai dan pertandingan menghasilkan video secara berkumpulan. Sebanyak 10 buah kumpulan peserta yang terdiri dari UPSI, UPI dan UBD diagihkan agar berada dalam 1 kumpulan yang sama. Aktiviti program ini diakhiri dengan sesi pengagihan kotak makanan ERAT MPM kepada 10 orang warga miskin nelayan.

“Setinggi-tinggi penghargaan diberikan kepada pihak yang terlibat secara langsung atau tak langsung dalam menjayakan program ini. Semoga program ini dapat memberi impak yang berkualiti kepada semua peserta dan semoga komitmen dan kerjasama akan terus terjalin di antara kita”, ucap Nurul Azira Mohd Zulkifli, pengarah program KUO Force: Sebutir Permata, Khazanah Negara dalam ucapan penutupnya.

Program ini diharapkan ia juga dapat memupuk semangat perpaduan antara mahasiswa Indonesia dan Malaysia dari segala aspek pada masa yang akan datang.