Oleh: Ainur Raihanis dan Noor Suhailah
UPSI, Tanjong Malim – “Biar mati anak jangan mati adat” demikian penting warisan dan budaya yang melambangkan identiti bangsa dan negara. Sukan tradisional yang merupakan satu warisan mungkin tidak sepopular sukan fizikal mahupun sukan maya yang kini jauh lebih mencabar dan menarik, namun ia melambangkan satu ikatan silaturahim yang erat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Exco Sukan dan Rekreasi Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar, Universiti Pendidikan Sultan Idris menghidupkan semula permainan tradisional di Malaysia melalui penganjuran Sukan Warisan Bangsa (SUWASA). Secara langsung, sukan tradisional ini dikenali dan sempat dimainkan oleh 30 orang mahasiswa daripada Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) dan Universitas Bina Darma (UBD).
Suasana di perkarangan gelanggang Kolej Ungku Omar dimeriahkan dengan permainan tradisional iaitu tapak gajah, galah panjang, merpati sepet, keting-ting bamboo dan balingan rentap. Mahasiswa daripada Indonesia menyatakan rasa seronok dan kagum akan kepelbagaian permainan tradisional di Malaysia.
“Suasananya seperti sedang di kampung. Seronok, saya suka,” ujar salah seorang mahasiswa yang kelihatan sangat bersemangat dan teruja sepanjang bermain permainan tradisional.
Prof. Madya Dr. Nizam Nasrifan, pengetua Kolej Ungku Omar dalam ucapannya berkata, “Program ini dilihat sebagai satu medium yang baik untuk memperkenalkan warisan budaya negara Malaysia kepada negara jiran iaitu Indonesia sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan mahasiswa dan pensyarah mereka”
Dengan adanya program ini, ia bukan sahaja dapat memartabatkan kesenian permainan tradisional di Malaysia malah dapat memperkenalkan warisan budaya Malaysia kepada dunia luar.