Oleh: Nurulhuda Nabilah Razaki

Kampung Kelawar, Tanjong Malim – Exco Perpaduan & Integrasi, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (KUO) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Sidang 23/24 dengan kerjasama Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), Universitas Bina Darma (UBD) dan komuniti kampung telah menganjurkan Program Semanis Rasa untuk Semua (SERASE) yang bertempat di Kampung Kelawar, Tanjong Malim, Perak pada 19 Januari yang lalu

Program ini bertujuan untuk memperkenalkan hidangan Malaysia kepada pelajar Indonesia dan berkongsi ilmu berkenaan menu makanan yang terdapat di Indonesia. Melalui program ini mahasiswa UPSI, mahasiswa Indonesia dan komuniti kampung saling bertukar idea dan resepi masakan mereka di antara satu sama lain. Program ini juga berkonsepkan “merewang” bermaksud kemeriahannya akan turut dirasai apabila semua mahasiswa UPSI, mahasiswa Indonesia dan komuniti kampung bergotong-royong memasak, menyediakan hidangan negara masing-masing dan menjamu selera bersama-sama.

“Menerusi program ini, kita bukan sahaja dapat menjalinkan hubungan silaturrahim yang erat akan tetapi ianya memberikan satu pengalaman manis dan impak yang positif di antara kedua-dua belah pihak agar ianya dapat dijadikan satu kenangan yang bermakna pada masa akan datang,” kata Profesor Madya Dr. Mohd Nizam, Pengetua Kolej Ungku Omar.

Tradisi merewang merupakan satu aktiviti gotong-royong yang dilaksanakan bersama komuniti dan masyarakat di sesebuah komuniti bagi menjayakan sesuatu program atau kenduri pada suatu ketika dahulu. Akan tetapi, dek perubahan zaman dan teknologi yang kian pesat berkembang, maka budaya merewang ini semakin berkurangan dalam kalangan masyarakat pada masa kini.

Program yang diadakan sebegini diharapkan mampu memberi pendedahan yang luas tentang adat, budaya dan kehidupan masyarakat di Malaysia kepada mahasiswa UPSI dan komuniti kampung pada masa yang akan datang.